Liga Super Malaysia Berita

Ketajaman Bekas Penyerang Buriram United Ditagih Harimau Selatan

Bekas penjaring terbanyak Liga Thailand, Diogo Luis Santo, telah sah menyarung jersi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim hadapan.

Ini disahkan oleh pengarah sukan JDT Martin Perst dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi kelab, Harimau Selatan Selatan, hari ini. Minat untuk mendapatkan pemain kelahiran Brazil ini wujud sewaktu JDT mengadakan perlawanan persahabatan dengan Buriram United pada 2017.

Tetapi disebabkan kos yang tinggi, JDT terpaksa melupakan hasrat mereka untuk menyaksikan beliau menyarung jersi JDT.

“kami telah memantau prestasi pemain berasal dari Brazil ini. Beliau memainkan peranan penting dalam kemenangan saingan liga 2018 Buriram dan mempunyai rekod jaringan gol yang baik di Thailand serta memenangi dua anugerah Kasut Emas dalam tempoh empat tahun.

“JDT percaya bahawa Diogo akan menjadi satu tambahan yang baik untuk skuad menjelang kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) pertama kami dan usaha mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia. Beliau juga sesuai dengan gaya bola sepak yang ingin dimainkan oleh JDT.

“Kehadiran Diogo telah melengkapkan kuota pemain luar negara selepas JDT juga menandatangani pemain tengah Sepanyol, Aaron Niguez dan pemain pertahanan tengah Argentina, Maurício dos Santos Nascimento. Kapten Hariss Harun dan Gonzalo Cabrera dikekalkan dari musim lalu untuk melengkapkan kuota lima tersebut.”

Santo, yang bermain untuk Buriram United dari 2015-2018, dijangka mengukuhkan barisan serangan JDT terutama dalam kancah ACL nanti.

JDT juga berpeluang untuk memenangi trofi liga mereka yang keenam, pertandingan yang telah JDT menang berturut-turut sejak 2014.

Perst menambah bahawa Harimau Selatan akan mengadakan perlawanan pra-musim di Bangkok sebagai sebahagian daripada persiapan 2019 mereka.