Liga Super Malaysia Berita

Hafiz Kamal Anggap Jodoh Dengan Perak Tak Lama, Ambil Keputusan Sarung Jersi PKNP

Pemain berusia 31 tahun, Hafiz Kamal mengesahkan yang beliau akan menyarung jersi PKNP FC pada kancah Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Beliau yang bersama Perak musim lalu terpaksa berhijrah setelah kontrak bersama pasukan The Bos Gaurus tidak diperbaharui dan tamat bulan lalu.

Beliau yang telah membuat 15 penampilan bersama Perak dan menjaringkan 4 gol pada musim lalu ternyata tidak mahu meninggalkan pasukan Perak.

Memetik kata-kata beliau pada Berita Harian, “Kalau ikutkan, hati memang masih di Perak, namun selepas perbincangan diadakan bersama pengurusan dan dengan beberapa syarat yang ditetapkan, saya fikir jodoh saya dengan pasukan tak panjang.

“Jadi, itu yang menyebabkan saya ambil keputusan untuk bersama PKNP selain peluang untuk mendapat lebih minit beraksi di tengah padang,” katanya.

Beliau yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Selangor selama semusim sebelum berhijrah ke Perak pada 2017.

Kecederaan lutut yang dialami oleh beliau sewaktu bersama Selangor lagi memaksa beliau untuk berehat panjang dan tidak banyak beraksi bersama Perak. Pemain yang berasal daripada Pantai Remis ini mula dilanda kecederaan pada awal September 2017 sewaktu sesi latihan menjelang suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Pahang.

Beliau berharap dengan aksi bersama pasukan baru akan memberi lembaran baru untuk karier beliau dan sekaligus mendapat tempat dalam skuad kebangsaan.

“Saya juga berterima kasih kepada pengurusan PKNP yang sudi menerima kehadiran saya dalam pasukan dan saya harap dapat membantu pasukan ini dalam mengharungi liga tahun ini,” katanya seperti yang dipetik dalam Berita Harian.