Malaysia Berita

KFA Perlu Bayar Harga Yang Mahal Untuk Bawa Isu Akhyar Ke CAS

Pengarah Urusan Axtion Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata pasukan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu menyediakan sekurang-sekurangnya AS$25,000 (kira-kira RM103,000) bagi membawa isu pemain muda mereka, Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Tambah beliau lagi kepada Berita Harian, bayaran tersebut termasuk kos pengangkutan, hotel dan kos perbelanjaan lain termasuk yuran untuk perbicaraan kes.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan kes di CAS berkata jumlah tersebut menjadi tinggi jika KFA tidak melalui Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Pertama sekali KFA kena kumpul semua bukti yang mereka ada. Bagi prosedur dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), yang terakhir adalah (keputusan jawatankuasa) rayuan.

“Sekarang ini KFA boleh bawa kes itu ke FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan selepas itu baru ke CAS.

“Tapi KFA boleh juga bawa kes itu terus ke CAS, cuma (kosnya) agak tinggi membabitkan banyak perbelanjaan, mungkin boleh mencecah AS$25,000 atau mungkin lebih lagi.”

Kemelut Akhyar dilihat tidak akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat apabila KFA kekal dengan keputusan mereka untuk membawa isu tersebut kepada pengetahuan CAS.

Bagi memastikan tiada lagi pemain yang keluar ikut ‘pintu belakang’ atau menggunakan saluran yang tidak sah dan tidak menghormati kontrak.

Effendi juga berkata kepada Berita Harian bahawa tempoh masa untuk menyelesaikan kes tersebut bergantung kepada jenis kes. Persoalan tempoh masa ini timbul selepas Akhyar diperkenalkan secara rasmi oleh Johor Darul Ta’zim bulan lalu dan adakah Akhyar boleh beraksi bersama juara lima kali Liga Super untuk musim hadapan.

“Ada kes yang boleh diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dan ada juga yang boleh berlarutan antara enam hingga 12 bulan. Bagi kes yang terdesak, mahkamah juga perlu dimaklumkan untuk menyelesaikan kes itu dengan pantas.

“Tapi kalau kes itu tergantung, Akhyar mungkin tidak boleh beraksi selagi kes itu tak selesai,” katanya.