Malaysia Berita

Johor Mula Pancing Akhyar Rashid

Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu pengumuman yang dibuat di dalam laman Facebook, Johor Southern Tigers mengesahkan sedang dalam perbincangan awal untuk mendapatkan bintang muda daripada Kedah, Akhyar Rashid.

Biarpun sebelum ini JDT menafikan bahawa mereka sedang berusaha untuk membawa Akhyar ke JDT bagi memperkuatkan pasukan untuk musim hadapan. 

“JDT sudah memulakan rundingan bersama pemain muda berbakat, Akhyar Rashid yang sudah diumumkan sebagai pemain bebas dua minggu lalu.

“Kami ingin memperkuatkan pasukan menjelang tahun bersejarah yang mana Harimau Selatan akan menjadi pasukan pertama dari Malaysia bertanding dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL),”

Juara Liga Super, JDT bakal beraksi didalam pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan dan jika segala perbincangan berjalan lancar, Akhyar bakal menjadi pemain ketiga JDT selepas mereka berjaya mendapatkan dua pemain import sebelum ini.

Sebelum ini terdapat drama diantara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan JDT selepas pengurusan KFA  menyatakan bahawa kelab daripada selatan itu gagal membuat permohonan rasmi kepada KFA bagi mendapatkan pemain itu. 

Sebaliknya Akhyar yang membuat permohonan untuk berpindah ke JDT sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa campur tangan dan menetapkan Akhyar boleh menebus kontraknya bernilai RM210,000 kepada KFA bagi membolehkan dia bergelar ejen bebas.

Tambahan RM75,000 bakal dibayar oleh mana-mana pasukan yang ingin mendapatkannya kepada KFA.