Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Jaringan Awal Anh Duch Musnahkan Impian Malaysia

Malaysia tewas 1-0 pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di tangan Vietnam dengan keputusan agregat 3-2. Gol awal oleh pemain senior skuad Golden Dragon, Nguyen Anh Duch mengenepikan impian Malaysia untuk merangkul kejuaraan ini buat kali kedua.

Sebelum ini skuad Harimau Malaya seri 2-2 dengan Vietnam pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, empat hari lalu. Keputusan seri tersebut memberi kedudukan selesa buat skuad Vietnam apabila kelebihan jaringan di tempat lawan berpihak kepada anak buah Park Hang-seo.

Malaysia hadir ke Stadium My Dinh dengan satu misi memburu jaringan awal bagi memberi kedudukan yang selesa. Tan Cheng Hoe membuat pertukaran dengan memasukkan kembali tiga pertahan Malaysia yang cedera dan digantung perlawanan. Kemasukkan Aidil Zafuan, Syahmi Safari dan Syazwan Andik mengisi kesebelasan utama Malaysia dilihat sebagai satu suntikan semangat kepada skuad negara, tetapi gagal memberi impak apabila barisan pertahanan negara melepaskan gol awal.

Manakala pengendali Vietnam, Park Hang-seo mengekalkan kesebelasan utama beliau apabila turun bermain dihadapan 40,000 penyokong sendiri.

Bermain dihadapan penyokong sendiri, Vietnam memulakan permainan dengan agresif seawal tiupan wisel pertama. Anak buah Park Hang-seo melancarkan serangan dengan membuat hantaran tinggi mencari pemain sayap kiri dan kanan. Tidak beberapa lama, Vietnam berjaya masuk ke kawasan penalti Malaysia. Hantaran lintang Nguyen Quang Hai didalam kotak penalti negara berjaya mencari Nguyen Anh Duch untuk gol pertama di minit ke-6.

Malaysia yang tidak mengaku kalah terus melancarkan serangan ke kubu lawan. Anak buah Tan Cheng Hoe bermain lebih agresif selepas ketinggalan secara 1-0. Lima minit setelah Vietnam mendapat gol pertama, peluang keemasan skuad Harimau Malaya hadir melalui pemain sayap kanan negara, Mohamadou Sumareh. Tetapi tolakan kaki belakang beliau gagal untuk menerjah jaring pasukan tuan rumah.

Disaat separuh masa pertama hampir tamat. Malaysia kembali mengatur gerak daripada tengah padang melalui Syamer Kutty yang bertukar hantaran ke bahagian sayap mencari Mohamadou Sumareh. Hantaran pendek Sumareh pada minit ke-43 berjaya mencari Syahmi Safari untuk cubaan daripada luar kotak penalti, tetapi berjaya ditepis penjaga gol Vietnam.

Pada babak kedua, skuad Harimau Malaya bermain lebih agresif dengan mengasak ke arah pintu gol Vietnam. Cubaan demi cubaan gagal untuk diterjemahkan sebagai jaringan. Manakala skuad Golden Dragon lebih selesa untuk bertahan dengan kelebihan satu gol dan jarang mengasak ke kubu Malaysia. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Untuk rekod, Vietnam memenangi Piala AFF buat kali kedua setelah kali terakhir berbuat demikian pada edisi 2008. Anak buah Park Hang-seo bertandang ke kempen Piala AFF dengan status pilihan apabila separuh daripada pemain beliau hadir daripada skuad Vietnam Bawah 23 (B-23) yang menjadi naib juara Piala Asia B-23 di China, Januari lalu.

Manakala pasukan Malaysia menjadi naib juara sebanyak tiga kali – 1996, 2014, 2018 – dan pernah menang sekali pada edisi 2010 setelah berjaya menewaskan Indonesia melalui keputusan agregat 4-2.