Malaysia Berita

Tiket Separuh Akhir Malaysia, Thailand Habis Dijual

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan yang dibuat telah memaklumkan bahawa kesemua 80,000 tiket perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018 diantara Malaysia dan Thailand yang akan berlangsung Sabtu ini di Stadium Bukit Jalil telah habis dijual.

Perlawanan yang membabitkan dua seteru ASEAN ini adalah antara perlawanan tumpuan yang bakal disaksikan oleh peminat daripada kedua-dua negara.

FAM dalam kenyataan yang dikeluarkan di Facebook turut menyatakan bahawa tiket fizikal yang mula dijual di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini juga telah habis dijual.

“Untuk makluman semua, tiket perlawanan Separuh Akhir 1 Piala AFF Suzuki 2018 melibatkan Malaysia lwn Thailand, Sabtu ini yang dijual secara fizikal di kaunter tiket Stadium Nasional, Bukit Jalil bermula 10.00 pagi tadi telah pun habis terjual sebentar tadi.

“FAM turut dimaklumkan bahawa tiket yang dijual di cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic sejak pagi tadi juga telah habis terjual.

“Ini bermakna, kesemua 80,000 keping tiket yang diperuntukkan termasuk 40,000 keping tiket yang dijual secara online pada Isnin dan Selasa lalu kini telah pun habis terjual.”

Ini bukan sekali peminat bola memenuhi stadium untuk menyaksikan perlawanan skuad negara. Minggu lalu lebih daripada 80,000 penyokong turun ke Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada skuad negara ketika mereka berjaya menewaskan Myanmar, 3-0.