Malaysia Berita

Lima Pasukan Berhadapan Tindakan Jika Gagal Lunaskan Gaji Pemain dan Pegawai

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Joehari Ayub hari ini mendedahkan bahawa terdapat lima pasukan yang bersikap ‘liat’ dalam melunaskan gaji mereka dan angka itu sudah mencecah sebanyak RM 2.64 juta secara keseluruhan melibatkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Beliau turut mengumumkan bahawa pasukan yang terbabit diberi masa selama 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan untuk menjelaskan semua tunggakan gaji pemain dan pegawai.

“Jika pasukan gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, apa-apa deposit penyertaan pertandingan, hadiah wang tunai atau apa-apa sahaja kewangan responden yang masih berbaki di FAM akan dibayar terus kepada pengadu.

“Perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi jika sumber kewangan yang dinyatakan di atas masih tidak mencukupi,” kata Joehari kepada Berita Harian.

Hanelang FC mempunyai masalah tunggakan gaji dan pampasan baki kontrak yang paling tinggi dengan RM1.1 juta melibatkan 20 pemain sambil diikuti oleh Marcerra United dengan jumlah RM886,400 yang melibatkan 21 pemain dan dua pegawai pasukan.

Manakala Terengganu City FC (TCFC) yang baru memenangi Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) musim ini turut terpalit dengan isu ini apabila 11 pemain menuntuk gaji mereka dengan nilai keseluruhan melibatkan RM321,700. 

Manakala satu lagi pasukan daripada pantai timur, Kuantan FA turut diheret sekali lagi ke Jawatankuasa Status FAM melibatkan tunggakan gaji sebnayak RM311,000 melibatkan 14 pemain.

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) juga turut tersenarai selepas pasukan itu gagal melunaskan gaji pemain dan pegawai terdahulu dengan melibatkan sebanyak RM32,000.