Safawi Rasid, pemain Johor Darul Ta’zim membolot tiga anugerah pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 (ABK18) yang berlangsung semalam.
Pemain berusia 23 tahun ini merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai, Pemain Muda Harapan dan Pemain Terbaik selepas persembahan cemerlang yang dipamerkan beliau sepanjang kempen Liga-M bersama JDT, skuad B-23 tahun negara dan juga skuad senior negara, Harimau Malaya.
Kemenangan Safawi ini seperti sudah dijangka apabila beliau berjaya membantu JDT merangkul gelaran Juara Liga Super serta beliau telah menyumbang 6 gol dalam 21 perlawanan liga musim ini. Manakala bagi skuad B-23 negara pula, Safawi telah membantu skuad muda negara untuk menewaskan Korea Selatan pada peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati.
Anak jati Terengganu yang memulakan karier beliau di akademi T-Team FC pada umur 14 tahun sebelum berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Nenas kini duduk sebaris dengan pemain lain yang pernah memenangi anugerah ini termasuk Helmi Eliza Elias (2008), Indra Putra Mahayuddin (2009), Norshahrul Idlan Talaha (2010, 2011, 2012), Badhri Radzi (2013), Khairul Azhan Khalid (2014), Safiq Rahim (2015), Ahmad Hazwan Bakri (2016) dan Baddrol Bakhtiar (2017).
Kemenangan ini pastinya menjadi suntikan semangat buat Safawi yang bakal beraksi buat skuad negara dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang akan bermula pada 8 November nanti apabila Malaysia akan bertemu Kemboja bagi aksi pembukaan Kumpulan A.
Selain daripada itu, dua rakan sepasukan Safawi turut memenangi anugerah, Farizal Marlias dengan Penjaga Gol Terbaik dan Hariss Harun membawa pulang Pemain ASEAN Terbaik.
JDT juga turut membolot anugerah Pasukan Terbaik, Penyokong Terbaik, Media Sosial Terbaik dan Laman Web terbaik.
Senarai pemenang ABK18
Pemain paling bernilai – Safawi Rasid (JDT)
Penjaga gol terbaik – Farizal Marlias (JDT)
Pertahanan terbaik – Shahrul Saad (Perak)
Pemain tengah terbaik – Safawi Rasid (JDT)
Penyerang terbaik – Akhyar Rashid (Kedah)
Pemain muda harapan – Safawi Rasid (JDT)
Jurulatih terbaik – Mehmet Durakovic (Perak)
Pemain paling popular – Lee Tuck (Terengganu FC)
Pemain import terbaik – Rufino Segovia (Selangor)
Pemain ASEAN terbaik – Hariss Harun (JDT)
Kasut emas – Rufino Segovia (Selangor – 31 gol)
Penjaring terbanyak Liga Super – Rufino Segovia (Selangor – 31 gol)
Penjaring terbanyak pemain tempatan Liga Super – Shafiq Shaharudin (Kelantan – 6 gol)
Penjaring terbanyak Liga Perdana – Casagrande (FELCRA FC – 19 gol)
Penjaring terbanyak pemain tempatan Liga Perdana – Bobby Gonzales (Sarawak – 13 gol)
Pasukan terbaik – JDT
Penyokong terbaik – JDT
Media sosial terbaik – JDT
Laman web terbaik – JDT
Anugerah Fair Play – Melaka United