Malaysia Berita

Saya Agak Terkejut – Nor Azam

“Saya dimaklumkan mengenai keputusan itu pagi tadi, memang agak terkejut tapi sebagai pemain saya kena terima, mungkin bukan rezeki saya kali ini.”

Itulah kata-kata pertama Nor Azam Azih apabila ditanya bagaimana perasaan beliau apabila tidak dapat mewakili negara pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang bakal berlangsung minggu hadapan.

Pemain tengah yang berasal daripada Pahang ini menerima dengan hati terbuka keputusan jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe yang menyisihkan beliau daripada skuad negara.

Beliau yang berumur 23 tahun adalah antara penggerak jentera tengah skuad negara B-23 ketika Sukan Asia yang berlangsung baru-baru ini mengatakan bahawa mungkin disebabkan kecederaan yang dialami beliau ketika beraksi bersama Pahang adalah antara punca kenapa beliau gagal untuk tersenarai. 

“Memang sebelum ini saya cedera hamstring tapi sudah semakin pulih. Saya boleh menjalani latihan dan bermain meskipun semalam ada terasa sedikit sakit, sebab ia perlawanan pertama saya lagipun beraksi dalam hujan.

“Jika saya dipilih, saya fikir boleh meningkatkan tahap kecergasan dan boleh bermain dalam perlawanan tertentu tapi mungkin jurulatih tidak mahu mengambil risiko,” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Berjersi nombor 20 Pahang ini bermain ketika skuad negara menang ke atas Maldives 3-0 sebelum dibawa keluar pada minit ke 45 di Stadium Bukit Jalil, semalam.

Pemain yang bakal mengisi kekosongan Nor Azam yang menjadi pilihan Tan Cheng Hoe adalah Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Syamer Kutty Abba.

Pemain negara akan bertemu Kemboja pada aksi pertama kumpulan A Piala AFF akan berlepas ke Phnom Penh, Selasa ini.