Tan Cheng Hoe telah membunyikan amaran bahawa skuad negara sudah bersedia untuk bertempur pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 dengan aksi pertama Kumpulan A adalah menentang Kemboja, Selasa ini.
Dengan senarai akhir pemain telah dikeluarkan setelah perlawanan menentang Maldives semalam yang menyaksikan skuad negara berjaya mengatasi Maldives.
Bekas jurulatih Kedah ini juga turut memberi pujian kepada pemain kerana berusaha untuk memenangi perlawanan tersebut serta menunjukkan aksi yang positif.
“Saya harus memberi pujian kepada pemain kerana aksi menentang Maldives ini bukan mudah kerana mereka bermain dengan baik.
“Pemain cuba memberi aksi terbaik untuk memenangi perlawanan tapi kita kurang tenang, fokus dan kerap kehilangan bola ketika menyerang manakala serangan balas pantas Maldives hampir menghasilkan gol. Tapi pemain kita memiliki semangat tinggi serta komitmen baik dalam perlawanan ini,” katanya kepada Berita Harian pada sidang media selepas perlawanan itu.
Beliau yang menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagopal sewaktu Malaysia memenangi Piala AFF pada edisi 2010 melaungkan bahawa skuad negara sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi lawan.
“Pemain sudah bersedia, kita kena ada keyakinan untuk mengharungi saingan Piala AFF kerana semua negara ASEAN dahagakan kejayaan. Kita juga harus mengambil peluang yang menggunakan format baru ini (tiada tuan rumah kejohanan),” kata Cheng Hoe.
Malaysia yang berada di dalam Kumpulan A bersama-sama dengan Vietnam, Kemboja dan Laos akan berlepas ke Phnom Penh, Selasa ini.