Piala Malaysia Berita

Tiger Bersedia Jaga Gawang Gol Terengganu

Penjaga gawang pasukan Terengganu, Mohd Suffian Abdul Rahman telah bersiap sedia untuk mengawal gawang gol Terengganu daripada ditembusi lawan. 

Beliau yang memegang rekod sebagai pemain paling tua dalam saingan Liga Malaysia bertekad akan menggunakan pengalaman beliau bagi menghadapi Perak pada aksi akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

“Saya tidak sangka keputusan untuk kembali mewarnai pentas Liga M selepas bersara awal musim lalu sebelum menjadi jurulatih memberi rahmat buat saya sehingga berjaya layak ke final.

“Justeru peluang sebegini pasti tidak akan saya lepaskan sebaliknya aksi terbaik menjadi matlamat setiap kali diberi tanggungjawab menjaga gawang,” kata beliau kepada Berita Harian.

Beliau yang digelar sebagai ’tiger’ berkata pasukannya telah menggandakan sesi latihan sehingga ke sepakan penalti.

“Saya sudah menggandakan latihan jika perlawanan berakhir dengan sepakan penalti, lagipun ini final ketiga saya selepas membantu Negeri Sembilan muncul juara dan Selangor pada 2008 sebagai naib juara.

“Kami perlu cari gol awal untuk memberi tekanan kepada pihak lawan kerana pertemuan itu dijangka sengit apatah lagi barisan pemain Perak juga bagus termasuk pemain importnya.

“Tapi sebagai pemain paling senior dalam padang, apa yang penting rakan sepasukan harus tenang dan tidak emosi selain mengikut taktikal yang diatur jurulatih,” katanya seperti yang dipetik di Berita Harian.