Piala Malaysia Berita

Mehmet Buat Persiapan Terakhir

Bahang final Piala Malaysia, Sabtu ini diantara Terengganu FC dan Perak kian terasa dengan pengendali Perak menyatakan beliau dalam persiapan terakhir untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk menghadapi perlawanan akhir nanti di Stadium Shah Alam.

Jurulatih yang berasal dari Australia berkata akan menggunakan baki hari-hari yang ada dalam merancang startegi dan meningkat kecergasan pemain.

Beliau menambah lagi, ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan ketika aksi bertemu Sabah di Kota Kinabalu tetapi itu tidak merencatkan persiapan pasukan.

“Memang ada beberapa pemain cedera tapi ia tidak mengganggu perancangan kami dan mereka boleh pulih sebelum aksi final.

“Selepas pertarungan sengit di Kota Kinabalu, pemain turun menjalani pemulihan hari ini dan selepas itu barulah kami menjalani latihan lebih intensif,” katanya Berita Harian.

Beliau yang pernah memenangi Piala Malaysia sebagai pemain sebanyak tiga kali berkata tidak mahu mengambil mudah terhadap ancaman TFC.

“Kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama rata. Siapa yang kurang melakukan kesilapan dan fokus sepanjang perlawanan pasti berjaya.

“Terengganu pasukan yang bagus dan kami akan cuba bermain sebaik mungkin bagi mengekang kekuatan mereka sekali gus memenangi final kali ini,” katanya kepada Berita Harian.