Malaysia Berita

‘Saya Akan Pantau Perkembangan Ini’

Jabatan Kerja Raya (JKR) menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam menjelaskan yang pihaknya mempunyai hak untuk melantik pihak ketiga sekiranya kontraktor yang bertanggungjawab gagal memenuhi obligasi untuk memperbaiki kerosakan tersebut.

Perkara ini disokong oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, melalui kenyataan di Twitter miliknya sebelum menambah perlunya langkah yang proaktif dalam menangani isu ini.

Hal ini berikutan lawatan mengejut Syed Saddiq ke atas Akademi Mokthar Dahari dan meluahkan rasa kecewa kerana kebajikan pemain tidak dijaga serta lengkapan sukan dan tempat tinggal yang indah khabar dari rupa.

“Terima kasih JKR. Saya akan pantau perkembangan ini. Belum sampai enam bulan, tapi sudah lebih 800 kecacatan direkodkan.

“Kita kena proaktif dalam memastikan segala kerosakan dan kecacatan diperbetulkan. Jangan sampai kerajaan perlu bayar lagi sekali untuk perbetulkan keadaan,” kata Syed Saddiq.

Susulan daripada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan masalah yang berlaku di AMD adalah sesuatu yang normal bagi sebarang projek kerajaan.

Malah, beliau berkata semua pihak juga tidak perlu khuatir memandangkan projek itu masih lagi berada dalam tempoh tanggungan kecacatan di mana kontraktor tetap perlu memperbaiki segala masalah yang dinyatakan tanpa sebarang kos kepada kerajaan.