Piala Malaysia Berita

Keputusan ini tidak bagus buat pasukan – Luciano Figueroa

Pengurus dan Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa meluahkan rasa kekecewaan beliau apabila Pahang berjaya menafikan kemenangan mereka pada masa kecederaan, perlawanan semalam.

Hal ini kerana skuad Harimau Selatan turun ke Stadium Darul Makmur, Kuantan dengan misi untuk menang. Namun begitu, tandukan pemain tengah, Safuwan Baharudin meranapkan misi mereka tersebut.

“Kami datang ke sini (Kuantan) dengan misi kemenangan tetapi ia dinafikan dengan jaringan tuan rumah pada masa kecederaan.” katanya.

Beliau turut menambah bahawa keputusan ini bukanlah sesuatu yang bagus namun mereka akan memastikan kesilapan itu tidak akan berulang pada pertembungan kedua nanti.

“Bagi saya, keputusan ini tidak bagus buat pasukan.  Oleh itu, kami akan memperbaiki segala kesilapan apabila bertemu Pahang sekali lagi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.”

“Sepatutnya, kita membawa bekalan selesa dengan kemenangan 1-0 tetapi kesilapan di saat akhir menyebabkan kita akur seri 1-1 di tempat lawan,” tambahnya lagi.

Figueroa turut mengulas tentang ketiadaan Fernando Marquez tetapi apa yang penting adalah semua pemain harus menampilkan aksi terbaik untuk memastikan kemaraan JDT dalam saingan Piala Malaysia ini.

“Dia (Marquez) seorang pemain yang bagus dan boleh membantu pasukan. Oleh itu, pada suku akhir kedua nanti, kami perlu memanfaatkan kelebihan di laman sendiri.”

“Saya mahu semua pemain dapat memperbaiki kesilapan dan beraksi dengan lebih baik untuk memastikan JDT melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.

Pada perlawanan semalam, Gonzalo Cabrera terlebih dahulu meletakkan JDT dihadapan pada minit ke-46. Namun pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin menanduk masuk bola pada minit ke-92 untuk memberikan bekalan sekurang-kurangnya satu gol sebelum pertembungan kedua sabtu ini.