Malaysia Berita

Malaysia bakal bertemu Algeria di Kejohanan Pisco World Cup

Piala Dunia bukan setakat pasukan-pasukan yang bertanding. Tetapi Piala Dunia juga menonjolkan kemeriahan di kalangan penyokong dan peminat bolasepak di seluruh dunia.

Menjelang Piala Dunia di Russia tidak sampai sebulan sahaja lagi, begitu banyak sambutan dan acara sudah mula diadakan bagi menambah lagi kemeriahan Piala Dunia.

Antaranya adalah kejohanan Pisco Cup yang melibatkan 20 pasukan negara yang terdiri daripada 17 warganegara berbeza termasuk Malaysia. Inilah masanya rakyat Malaysia boleh merasa mewakili negara seperti Safiq Rahim, Safee Sali atau Fakri Saarani dan bertanding membawa nama negara menentang negara-negara lain.

Tahun ini merupakan kali ketiga Pisco Cup diadakan dengan perlawanan peringkat kumpulan telah berlangsung pada 5 dan 6 Mei lalu.

Pasukan Malaysia berjaya mara ke pusingan kedua apabila menduduki tangga keempat Kumpulan D yang disertai Sepanyol B, Itali A, Russia dan Portugal.

Bagi pusingan kedua, pasukan Malaysia akan berdepan Algeria dalam misi mereka untuk membawa nama negara sehingga menjadi juara.

Peringkat kalah mati kejohanan akan berlangsung pada hari Sabtu ini, 19 Mei di Lembaga Getah Malaysia, Jalan Ampang.

Biarpun pasukan-pasukan seperti Algeria, Brazil, Sepanyol, Perancis adalah antara pasukan pilihan untuk muncul juara, jangan sekali-kali mereka ingat Malaysia akan membiarkan mereka menang begitu sahaja di tempat mereka sendiri!