Malaysia Berita

FAM perlu selesaikan masalah tiket, galakkan penyokong turun ke stadium-Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman cukup kecewa apabila beliau melihat sendiri bagaimana penyokong tempatan terperangkap di Stadium Nasional Bukit Jalil hanya untuk menyaksikan perlawanan AFC B-16 antara Malaysia dan Thailand.

Katanya, FAM memberikan alasan bahawa mereka tidak menyangka perlawanan tersebut akan dihadiri oleh ribuan penyokong tanah air dari seluruh negara.

Namun, beliau menganggap perkara tersebut tetap menjadi tanggungjawab FAM yang mengendalikan kaunter tiket untuk memudahkan dan meramaikan penyokong datang ke stadium.

“FAM kata secara tiba-tiba ramai orang hadir tetapi walau ramai macam manapun, mereka tetap bertanggungjawab untuk selesaikan masalah seperti ini dan perkara ini perlu diperhalusi dengan lebih teliti kerana ini bukan pertama kali berlaku.

“Ada penyokong yang datang begitu jauh tapi kalau tak dapat nak bagi sokongan, sudah tentu mereka sedih.

“Jadi FAM kena pastikan setiap kaunter mesti ada orang yang jaga, tidak boleh tiga atau empat kaunter sahaja dibuka, banyak lagi kekosongan yang boleh diisi.

“Kena lakukan jangkaan perlawanan mana yang akan disaksikan oleh penyokong, always over-estimate tetapi jangan underestimate semangat penyokong.

“Lebih banyak kakitangan ada pun tidak salah, lebih mudah untuk kendalikan, malah KBS pun boleh bantu,” katanya.

Jelas Syed Saddiq, beberapa jalan penyelesaian akan dibincangkan dan dikenal pasti supaya perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang.

“Isu tiket terletak dibawah kuasa FAM dan kita akan bincang bagaimana untuk memudahkan penyokong untuk ke stadium seperti tiket secara dalam talian,” katanya.