Berita Asia

Tahniah buat skuad B-16 namun misi masih belum berakhir – Presiden FAM

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin merakamkan ucapan tahniah kepada skuad Malaysia B-16 yang menang ke atas Tajikistan dalam aksi pertama Kejohanan AFC B-16, semalam.

Skuad kendalian bekas jurulatih akademi Bayern Munich, Lim Teong Kim berjaya membelasah Tajikistan dengan jaringan 6-2 dan Luqman Hakim muncul wira skuad remaja negara dengan menjaringkan 4 gol.

Walaubagaimanapun, Presiden FAM juga memberikan peringatan bahawa saingan masih awal dan mereka bakal menantikan dua lagi pasukan iaitu Thailand dan Jepun.

“Tahniah buat Skuad B-16 kerana mempamerkan keputusan yang cemerlang tetapi misi Malaysia masih belum berakhir.”

“Dengan berbaki dua perlawanan lagi, saya ingin mengingatkan pemain untuk terus fokus dan kekalkan prestasi yang baik,” katanya.

Kemenangan itu sedikit sebanyak memberikan keyakaninan dan harapan buat Malaysia B-16 mencapai sasaran untuk mara ke separuh akhir untuk mendapatkan slot automatik ke Piala Dunia FIFA B-17 yang akan berlangsung di Peru pada tahun hadapan.

Pada masa yang sama, Datuk Hamidin turut berbesar hati kerana Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi acara berprestij itu. Oleh itu, beliau mahu supaya pemain dan jurulatih mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi.

“FAM amat berbesar hati kerana diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah selepas sekian lama tidak menganjurkan kejohanan antarabangsa cukup berprestij seumpama ini.

“Selaku tuan rumah, kita perlu mematuhi standard yang ditetapkan AFC. Untuk memastikan kelancaran kejuaraan ini, semua pemain dan jurulatih juga perlu mempamerkan semangat kesukanan tinggi bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.