Malaysia Berita

Farisham Ismail: Jangan pandang rendah terhadap pasukan Sabah

Kapten pasukan Kelantan, Farisham Ismail berpendapat bahawa beliau dan rakan sepasukannya tidak boleh memandang rendah pasukan Sabah, walaupun mereka hanya merupakan sebuah pasukan Liga Premier.

Skuad The Red Warriors akan turun berentap Sabah dalam aksi peringkat suku akhir Piala Malaysia di Stadium Muhammad IV pada hari Sabtu ini.

“Empat kemenangan, satu seri dan sekali kalah yang dicatatkan Sabah membuktikan mereka sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah dalam pertembungan fasa kalah mati ini,” kata Farisham, menurut laporan Sinar Harian.

“Jadi Kelantan perlu rebut peluang pada perlawanan pertama dengan mencari lebih banyak jaringan kerana kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku pada suku akhir kedua nanti.

“Tetapi saya percaya jika pemain dapat mengulangi corak permainan sama seperti menewaskan Kedah baru-baru ini tak mustahil kita boleh mencatatkan keputusan positif.

“Ketika ini moral pasukan berada pada tahap terbaik dan saya yakin rakan-rakan juga mempunyai semangat tinggi mahu mengalahkan Sabah sekali gus mengembalikan semula kepercayaan penyokong terhadap pasukan ini,” tambah beliau.

Kelantan berjaya melayakkan diri ke peringkat kalah mati selepas kemenangan 2-0 yang cukup dramatik ke atas pasukan Kedah di Kota Bharu minggu lepas.