Malaysia Berita

Kita tidak ketandusan jurulatih tempatan berwibawa – B Sathianathan

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berbangga dengan jurulatih tempatan yang mampu mengendalikan pasukan mereka dan menunjukkan peningkatan yang ketara dalam saingan Liga Malaysia.

Beliau mengulas mengenai pasukan Sabah, Kelantan dan juga MIFA yang beraksi cemerlang dalam saingan Piala Malaysia dimana ketiga-tiga pasukan ini semuanya dibimbing oleh jurulatih tempatan.

“PJBM amat berbangga dengan jurulatih seperti Jelius (Ating), Yusri (Che Lah) dan (K) Devan kerana membuktikan kita tidak ketandusan jurulatih tempatan berwibawa.”

“Anda dapat lihat bagaimana Jelius dan Yusri mampu mengubah pasukan masing-masing selepas mengambil alih tugas itu daripada jurulatih import hingga mara ke suku akhir Piala Malaysia.”

“Begitu juga Devan yang berjaya membentuk MIFA, pasukan yang boleh dianggap ‘biasa’ kepada ‘giant-killer’ dengan membuat kejutan dalam Piala Malaysia.”

Malah pasukan Liga Super, Melaka United yang menggugurkan ketua jurulatih import mereka dan melantik E Elavarasan juga berjaya mempamerkan peningkatan yang ketara.

“Selain itu, pasukan seperti Melaka United yang mengambil langkah berani menyingkirkan jurulatih import juga menunjukkan peningkatan ketara selepas dilatih oleh Ela (E Elavarasan),” kata Sathia.

Walaubagaimanapun, ketua jurulatih Felda United itu bukanlah mahu memboikot jurulatih daripada luar tetapi ingin menasihatkan pasukan dalam Malaysia supaya membuat kaji selidik supaya tidak mengambil jurulatih import yang tidak berkualiti.

“Kalau anda boleh bawa jurulatih yang bagus seperti JDT, apa salahnya kerana selain meningkatkan kualiti pasukan, mereka juga dapat menurunkan ilmu kepada jurulatih tempatan.

“Tapi masalahnya, kebanyakan pasukan mudah terpesona dan terpedaya dengan ‘barangan luar’. Asal jenama import, semua mereka anggap bagus dan beli tanpa usul periksa.

“Nasihat saya, selidik dahulu, jangan mudah terpesona dengan cerita dongeng ‘si tukang kasut’. Lagipun jurulatih kita sudah ramai yang bagus, tak perlu nak tengok jauh-jauh,” katanya.

Jika dilihat kepada skuad kebangsaan dan juga skuad bawah 23 tahun negara, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga mengambil keputusan untuk meletakkan jurulatih tempatan iaitu Tan Cheng Hoe dan juga Datuk Ong Kim Swee sebagai ketua jurulatih untuk mengemudi kedua-dua pasukan itu.

Dan setakat ini, skuad Harimau Muda terutamanya juga telah berjaya menampilkan peningkatan prestasi dengan mara ke suku akhir kejohanan AFC B-23 dan juga peringkat kalah mati Sukan Asia 2018 yang lalu.