Malaysia Berita

Terengganu City FC bakal umumkan tajaan bagi saingan musim 2019

Juara Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Terengganu City FC (TCFC) menjadi buah mulut para peminat bola sepak Malaysia sejak kebelakangan ini. Ini kerana pasukan daripada pantai timur tersebut dimaklumkan oleh FAM bahawa mereka mempunyai kes tunggakan gaji pemain.

Hal ini membuatkan ramai tertanya-tanya akan nasib pasukan tersebut samada boleh beraksi di saingan Liga Premier pada musim hadapan atau tidak. Selain daripada mungkin menghadapi masalah perlesenan kelab berikutan kes tunggakan gaji, keadaan kewangan mereka juga dikhuatiri ramai memandangkan kos untuk mengharungi liga divisyen dua Malaysia itu pastinya lebih tinggi berbanding kos saingan ketika di Piala FAM.

Namun demikian, page rasmi Terengganu City FC telah memuat naik satu ‘post’ mengumumkan penajaan daripada beberapa buah syarikat untuk mengharungi saingan Liga Premier 2019, semalam.

Terengganu City FC berbesar hati mengumumkan penajaan daripada beberapa buah syarikat untuk bersaing dalam Liga Premier…

Posted by Terengganu City FC on Sunday, September 9, 2018

Berdasarkan kenyataan tersebut, TCFC bakal menerima jumlah keseluruhan bernilai melebihi RM6 juta yang merangkumi wang tunai, penginapan dan makan pasukan, serta kelengkapan jersi pemain dan pegawai kelab.

Antara syarikat-syarikat yang bersetuju untuk menaja mereka adalah Rimbaco Sdn Bhd, Teguh Harian Sdn Bhd, Takdir Idaman Sdn Bhd, Wira Syukur Sdn Bhd, Tulangis Group, Kaki Jersi dan Derakventure Enterprise, CKJ Engineering & Services.

Pengumuman ini pastinya akan menghilangkan keresahan pemain dan pegawai selain daripada memberikan mereka peluang untuk bermain diperingkat yang lebih tinggi. Malahan, kelab juga bakal mendapat kelebihan melalui duit penajaan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seperti mana kelab-kelab Liga Premier pada musim ini.

Sebagai rekod, pasukan-pasukan daripada Liga Premier pada musim ini menerima sejumlah wang tunai RM1 juta hasil daripada perjanjian badan pengendali liga tersebut bersama iFlix dan juga TM. Jika bernasib baik, jumlah tersebut mungkin akan meningkat pada tahun hadapan seperti mana dititahkan oleh Pengerusi MFL, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim awal tahun ini.

TCFC akan mengadakan satu sidang media pada 22 September ini di Primula Hotel, Kuala Terengganu untuk memperkenalkan barisan penaja The Sharks secara rasmi.