Liga Super Malaysia Berita

Tak bayar gaji pemain ibarat tidak hormat pemain

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar mendedahkan masalah tunggakan gaji yang berlaku dalam liga tempatan telah memberi kesan yang buruk kepada masa depan bolasepak negara disebabkan gagal menjaga kebajikan pemain.

Katanya, masalah gaji sudah berlarutan sejak zaman liga amatur lagi dan apa yang berlaku seolah-olah bola sepak negara tidak pernah berubah ke arah yang lebih baik.

“Isu tunggakan gaji ibarat kita tak hormat pemain. Tolong hormati punca pendapatan pemain kerana ia yang akan mempengaruhi emosi pemain apabila mereka berada di atas padang.

“Ini satu perkara yang memalukan kerana negara luar pun tahu mengenai perkara ini. Kita nak naikkan standard liga, tapi bila perkara ini berlaku, bagaimana nak naikkan standard itu?

“Pemain luar nak datang sini pun takut, saya dengar khabar angin yang pemain dari Thailand hanya akan datang ke Malaysia sebagai pilihan terakhir mereka,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata demikian susulan daripada isu pasukan Perlis dan Terengganu City yang diarah supaya melangsaikan RM744,500 tunggakan gaji kepada pemain mereka.

Dalam pada itu, Azlan turut membidas pihak pengurusan pasukan liga yang menjadi punca kepada masalah tunggakan gaji di negara ini.

“Ramai yang berebut nak jadi presiden, timbalan presiden, setiausaha dan sebagainya, tapi gagal menjalankan tugas dengan baik. Tugas menjaga kebajikan pemain antara tugas paling penting bagi pengurusan.

“Ada persatuan yang mana bila presiden letak jawatan, timbalan presiden terus angkat tangan kata tak boleh bantu, jadi selama ini hanya presiden sahaja ke yang buat kerja?

“Sebab itu ada pemain bola sepak kita yang kais pagi makan pagi dan saya rasa ini satu perkara yang semua pihak harus pandang,” katanya.