Malaysia Berita

N. Thanabalan hampir pulih, tidak sabar untuk beraksi semula

Pemain kebangsaan, N.Thanabalan mengakui beliau tidak sabar untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan selepas lama tersisih akibat kecederaan.

Pemain berusia 23 tahun itu terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan lutut ketika menjalani sesi latihan Sukan Asia 2018 bulan lalu.

Katanya, beliau sudah hampir pulih dan berharap dapat merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan untuk beraksi di Piala AFF Suzuki 2018.

“Setakat ini saya masih dalam proses pemulihan dan dijangka dalam tempoh enam minggu, semuanya akan pulih.

“Kecederaan memang sudah adat sebagai pemain bola sepak dan saya yakin akan kembali seperti biasa selepas ini dan merebut tempat dalam skuad negara.

“Sebelum ini memang ada sedikit kecewa kerana terlepas bermain dalam Sukan Asia, tetapi itu semua sudah berlalu.

“Apa yang penting sekarang, saya mahu pulih sepenuhnya,” jelasnya kepada mStar.

Apabila ditanya mengenai masa depannya di Negeri Sembilan, Thanabalan mendedahkan bahawa kontrak beliau akan berakhir hujung tahun ini.

Walaubagaimanapun, beliau enggan mengulas dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

“Saya masih belum bincang apa-apa dan belum tahu lagi status saya di Negeri Sembilan,” katanya.