Saya tahu tujuan saya di sini.
Itulah yang diungkapkan oleh penyerang Malaysia yang beraksi bersama kelab Nakhon Ratchasima di Thailand, Shahrel Fikri.
Baru-baru ini timbul spekulasi bahawa Shahrel merasa ‘homesick’ dan ingin pulang semula ke Malaysia. Tetapi hari ini, pemain yang baru dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan itu membidas semua spekulasi tersebut menerusi laman sosialnya.
“Saya dekat sini nak bagitau saja yang kehidupan saya (di sini) seorang diri. Ini tidak, baru saya bagitau begini dah kata saya nak balik. Saya tahu apa motif saya ke sini. Niat saya nak kongsi pengalaman saya di sini, tetapi bila dapat ke orang katanya kita nak balik.
“Betul, saya rindukan mak dan ayah saya, apatah lagi saya anak sulung. Saya ada tanggungjawab, saya ada empat adik beradik lain yang perlu saya jaga. Tapi saya terpaksa tinggalkan mereka. Bukanlah sampai tahap saya mahu pulang ke Malaysia dan tidak mahu beraksi di sini lagi.”
Pemain merasa homesick di luar negara bukanlah satu perkara yang aneh. Pemain bertaraf dunia yang beraksi di Eropah juga pernah merasa homesick ketika baru berhijrah.
Apa yang penting adalah kita mesti terus memberikan sokongan kepada Shahrel. Shahrel seorang pemain yang bagus dan mempunyai jiwa yang kental. Dia pernah bangkit untuk kembali beraksi sebagai seorang pemain profesional dahulu. Pastinya ini lagi satu cabaran yang akan diambil oleh Shahrel dan akan lebih mematangkan beliau. Selamat berjaya Shahrel!