Malaysia Berita

Setelah ketiadaan Safawi dan Syafiq kini Cheng Hoe hilang khidmat Matyo

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe memaklumkan terpaksa melupakan khidmat penyerang berusia 32 tahun, Matyo atau nama sebenarnya Norshahrul Idlan Talaha.

Penyerang Pahang tersebut meminta pelepasan daripadanya kerana urusan keluarga dan tidak dapat bersama untuk aksi persahabatan antarabangsa bertemu Taiwan dan Kemboja pada jumaat dan isnin depan.

“Semua OK cuma Matyo minta pelepasan kerana urusan keluarga, jadi kita hormat keputusannya dan lepaskan dia.”

“Memang saya tak boleh bagi alasan, jadi saya kena cari satu formula atau formasi terbaik untuk aksi menentang Taiwan dan Kemboja nanti. Sudah tentu pemain yang diturunkan mampu beri persembahan terbaik,” Katanya selepas sesi latihan lalu.

Ini menyebabkan Tan Cheng Hoe telah kehilangan tiga penyerang termasuk dua orang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.

Walaubagaimanapun, Cheng Hoe masih lagi mempunyai beberapa penyerang yang mampu menggalas tugasan untuk menggempur gawang lawan seperti Zaquan Adha, Shahrel Fikri Md Fauzi, R. Kogileswaran dan Akhyar Rashid.

Kedua-dua perlawanan persahabatan antarabangsa “A” ini diatur sebagai persiapan untuk menghadapi Piala AFF yang akan bermula November ini dan ini merupakan perlawanan kelima dibawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Kali terakhir Malaysia beraksi adalah pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Fiji di Cheras menyaksikan Malaysia menang 1-0.

Pada masa yang sama, Tan Cheng Hoe juga mengulas mengenai prestasi pasukan Taiwan yang kian meningkat dan ia pastinya bukan satu lawan yang mudah. Namun beliau mengharapkan pemain memberikan prestasi terbaik.

“Kalau kita lihat perlawanan Taiwan sejak dua, tiga tahun ini nampak mereka bermain dengan baik di laman sendiri, mereka tak kalah lagi, jadi bukan mudah. Saya rasa pemain yang dibawa mampu beri prestasi terbaik dan saya masih lagi cuba mencari kombinasi pemain,” katanya.