Malaysia Berita

Sembilan jam perjalanan demi menyarung jersi Harimau Malaya

Shahrel Fikri Md Fauzi, pemain Nakhon Ratchasima dari Liga Thai terpaksa menempuh perjalanan yang panjang sebelum melaporkan dirinya ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Walaupun terpaksa mengharungi perjalanan yang memakan masa lebih kurang 9 jam, pemain 24 tahun ini mengetepikan kepenatan dan berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Tan Cheng Hoe bagi aksi persahabatan pada jumaat dan isnin ini.

“Saya bertolak ke Malaysia pukul 6 pagi kelmarin waktu Thailand dan saya melaporkan diri pada pukul 10 pagi. Saya terpaksa menempuh tempoh perjalanan yang lama berikutan dari Korat ke Bangkok mengambil masa tiga jam.”

“Secara keseluruhan perjalanan saya sebelum melaporkan diri adalah sembilan jam namun tidak mengapa kerana ini sebahagian daripada pengorbanan yang saya perlu lakukan demi negara.”

Malah, Shahrel juga berasa bangga apabila mendapat panggilan skuad senior oleh Tan Cheng Hoe dan membuktikan penghijrahannya ke Liga Thai menyebabkan beliau diberikan pemantauan oleh barisan kejurulatihan Harimau Malaya.

“Saya berasa bangga apabila dapat menyertai kem latihan kebangsaan selepas menyertai kelab di Thailand kerana itu menunjukkan perkembangan saya sentiasa dipantau dan jika diberi peluang saya mahu menunjukkan aksi terbaik,” katanya.

Shahrel Fikri berkemungkinan menjadi pilihan pengendali skuad senior berikutan ketiadaan Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad serta Matyo yang baru sahaja meminta pelepasan daripada tugasan negara kerana urusan keluarga.

Perlawanan persahabatan antarabangsa “A” yang diatur oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merupakan persiapan yang dilakukan skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF November ini. Malaysia akan bertemu Taiwan pada 7hb sebelum bertemu Kemboja pada 10hb September.