Terengganu Football Club (TFC) mengalami kekalahan pertama buat pertama kali dalam saingan Piala Malaysia kepada Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. TFC mengalami kekalahan 1-2 hasil jaringan berganda pemain Brazil, Gilmar da Silva.
Terdahulu, TFC yang telah layak ke saingan suku akhir kelihatan tertekan dominasi permainan Perak terutamanya pada separuh masa pertama. Pengurus TFC, Irfan Bakti memberi komen bahawa anak buahnya jelas beraksi di bawah paras sebenar berbanding perlawanan sebelum ini.
“Pada babak pertama, saya lihat pemain beraksi di bawah paras sebenar, tidak sebagaimana aksi biasa sebelum ini, hanya pada separuh masa kedua saja kita lihat ada sedikit peningkatan untuk memburu jaringan.”
“Kita juga sedikit tertekan apabila pemain Perak melakukan tekanan dan asakan bertubi-tubi ke pintu gol sehingga tidak berani hendak pegang bola dan bermain seperti biasa, mereka juga dilihat kurang keyakinan.”
Pada masa yang sama, Irfan Bakti juga bingung dengan prestasi yang ditonjolkan oleh anak buahnya padahal mereka beraksi di halaman sendiri dengan kehadiran ribuan penyokong setia Terengganu FC.
“Ini yang menimbulkan kehairanan saya, kenapa mereka gagal beraksi dengan baik padahal beraksi di tempat sendiri. Sepatutnya faktor itu tidak berada dalam otak pemikiran pemain, namun yang berlaku adalah sebaliknya sehingga kita tewas,” kata Irfan Bakti.
Beliau jelas berang dengan aksi yang dipersembahkan oleh pemain-pemainnya walaupun terdapat peningkatan permainan mereka pada separuh masa kedua. Malah bekas pemain Pahang, Ashari Samsudin berjaya menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua sebelum Gilmar da Silva berjaya menjaringkan gol kedua pada penghujung masa permainan.
Selain daripada faktor beraksi bawah paras sebenar dan tertekan, Irfan Bakti juga sempat memuji aksi cemerlang pemain Perak seterusnya mempengaruhi persembahan anak buahnya.
“Aksi cemerlang pemain Perak juga mempengaruhi aksi pemain TFC,” jelasnya lagi.