Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe lepaskan 4 tonggak Sukan Asia, Matyo kembali

Seramai 23 pemain telah melaporkan diri untuk latihan pusat skuad Harimau Malaya bertempat di Stadium Kompleks Sukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam. Namun begitu, empat pemain tonggak Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang telah diketepikan oleh Tan Cheng Hoe atas faktor kecederaan dan kepenatan.

Empat pemain tersebut ialah Rizal Ghazali (Kedah), Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Adam Nor Azlin (Johor Darul Ta’zim). Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe ketika ditemui menjelaskan bahawa empat pemain ini mengalami kecederaan dan kepenatan disamping Syafiq Ahmad meminta meminta pelepasan kerana baru sahaja menimang cahaya mata.

“Menerusi laporan doktor, Rizal mengalami kecederaan lutut, Syafiq minta pelepasan kerana baru menimang cahaya mata, Safawi terlalu banyak perlawanan jadi kami bagi dia rehat, yang penting saya nak dia sedia pada Piala AFF nanti.”

“Adam juga keletihan jadi kami bagi dia pelepasan. Saya rasa 23 pemain sudah cukup, saya harap pemain yang lapor diri ini bebas daripada kecederaan dan dapat beri tumpuan 100 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita.

Skuad Harimau Malaya akan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada 7hb dan 10hb September ini bertemu Chinese Taipei dan Kemboja. Mereka akan menjalani latihan pusat selama dua hari sebelum berlepas ke Taipei City sebagai persiapan menghadapi Piala AFF, November depan.

Daripada 23 pemain yang dipanggil oleh Tan Cheng Hoe, terdapat sembilan muka baharu yang dipanggil untuk menyertai perlawanan persahabatan pada kali ini. Antaranya ialah Farizal Marlias (JDT), Fazly Mazlan (JDT II), Akhyar Rashid (Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Mahalli Jasuli (PKNS FC), Syahmi Safari (Selangor) dan Azzizan Nordin (Sabah).

“Seperti yang anda tahu, beberapa pemain baru dipanggil iaitu Matyo (Norshahrul), Farizal, Nik Akif dan Azzizan. Yang penting saya tak mahu pemain tertekan dan saya mahu pemain pamer prestasi yang baik,” katanya.