Malaysia Berita

Lapan pemain B-23 akan dipanggil untuk pasukan kebangsaan-Tan Cheng Hoe

Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengesahkan bahawa lapan pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun yang beraksi di Sukan Asia baru-baru ini berada dalam senarai yang akan dipanggil bagi menyertai latihan pusat bermula 3 September ini.

Latihan pusat berkenaan diadakan sebagai persediaan untuk dua aksi persahabatan antarabangsa berdepan Taiwan dan Kemboja pada 7 dan 10 September ini.

Cheng Hoe bagaimanapun enggan mendedahkan senarai pemain skuad B-23 yang akan dipanggil dalam senarai 24 pemain termasuk pemain senior.

“Kita belum boleh umum lagi, belum ada pengumuman juga daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), jadi tidak manis kalau saya umumkan sekarang.

“Memang sudah ada gambaran pemain yang akan saya panggil dan lebih kurang tujuh atau lapan pemain Skuad B-23 berada dalam senarai itu,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe percaya gandingan pemain muda dan senior yang bakal dibentuk nanti mampu memberi impak yang lebih positif dalam skuad kebangsaan dan bola sepak Malaysia.

“Skuad B-23 mara hingga ke pusingan kedua dan di peringkat kumpulan juga mereka berjaya tewaskan Korea Selatan, jadi ia sedikit sebanyak memberi motivasi atau petanda positif untuk pasukan kebangsaan nanti.

“Barisan kejurulatihan akan hadir dalam perlawanan Piala Malaysia untuk memantau dan menilai prestasi semasa beberapa pemain yang mungkin boleh dipanggil menyertai skuad kebangsaan,” katanya.

Ini dibuktikan apabila penolong jurulatih Harimau Malaya, Aminuddin Hussin dan jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz turut kelihatan pada aksi Piala Malaysia antara MIFA dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.