Malaysia Berita

Akhyar sudah bersedia menentang Jepun

Pemain muda berbakat negara, Akhyar Rashid menunjukkan prestasi yang membanggakan ketika menentang Kyrgyzstan dan Korea Selatan pada perlawanan peringkat Kumpulan E dalam temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Walaubagaimanapun, beliau bermula daripada bangku simpanan pada perlawanan akhir menentang Bahrain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang dua hari lalu. Pada perlawanan tersebut, Akhyar berjaya mendapatkan penalti beberapa minit sebelum tamat perlawanan.

Sebelum tamat perlawanan itu juga, penyerang Kedah itu dikasari teruk oleh pemain Bahrain dan mengalami sedikit kecederaan pangkal peha.

“Saya rasa tiada masalah besar dengan kecederaan ini, cuma kejang sedikit sebab bermain dua perlawanan penuh.”

“Saya berharap tempoh rehat beberapa hari sebelum menentang Jepun mencukupi,” katanya.

Bercakap mengenai perlawanan akan datang menentang Jepun, Akhyar menegaskan akan kepentingan mengikuti arahan jurulatih dan memastikan kecergasan di tahap terbaik.

Dia juga menjangkakan trio serangan S-A-S (Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid) Harimau Muda akan dikawal rapi oleh pemain-pemain Jepun daripada melakukan jaringan.

“Saya sedar kami (Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid) di jentera serangan akan dikawal rapi, namun apa yang penting mengikut arahan jurulatih dan perlu menjaga kecergasan. Kami perlu bertukar hantaran dengan lebih pantas.”

Pada masa yang sama, Akhyar turut memuji persembahan Jepun ketika mereka menentang Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan D yang berkesudahan 0-1.

“Kami menyaksikan mereka menentang Vietnam tempoh hari, ternyata mereka bagus dalam aspek taktikal dan teknikal serta kecergasan,” katanya.

Skuad Harimau Muda akan menentang Jepun dalam aksi 16 terakhir Sukan Asia 2018 pada Jumaat ini. Kali terakhir pasukan Malaysia layak ke saingan kalah mati temasya Sukan Asia adalah pada tahun 2010.