Berita Asia Tenggara

Indonesia, Vietnam dan Malaysia antara 16 pasukan terbaik Sukan Asia 2018

Pasukan tuan rumah, Indonesia berjaya mara ke pusingan kalah sebagai juara Kumpulan A setelah menumpaskan Hong Kong 3-1 pada aksi terakhir mereka. Jaringan Irfan Jaya, Stefano Lilipaly dan Hanif Sjahbandi memadai buat skuad tuan rumah mengutip tiga mata, dan bakal berentap dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada pusingan kedua nanti.

Vietnam pula menamatkan aksi kumpulan dengan rekod yang mengagumkan setelah mencatatkan kemenangan mengejutkan 1-0 ke atas pasukan pilihan, Jepun. Ini menjadikan mereka mengutip 9 mata penuh dan merekodkan ‘clean sheet’ bagi ketiga-tiga perlawanan. Mereka mungkin bakal mengulangi aksi cemerlang sepertimana Kejohanan AFC B23 di China, mara ke perlawanan akhir pada Januari lalu. Lawan mereka pada aksi kalah mati adalah Bahrain.

Malaysia pula bakal bertemu Jepun pada aksi kalah mati pada Jumaat ini. Memulakan aksi dengan langkah kanan apabila berjaya menumpaskan Kyrgyzstan 3-1. Pada perlawanan kedua, Malaysia mencatatkan kemenangan ke atas juara bertahan, Korea dengan jaringan 2-1. Dua kemenangan ini sudah mencukupi untuk meletakkan Malaysia sebagai juara kumpulan serta mencapai sasaran awal Ong Kim Swee iaitu mara ke saingan kalah mati.

Empat lagi pasukan Asia Tenggara – Thailand, Myanmar, Timor Leste dan Laos telah ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Sukan Asia 2018. Dua daripada empat pasukan ini telah pun disahkan terkeluar daripada saingan sebelum perlawanan akhir peringkat kumpulan masing-masing.

Kekalahan Thailand kepada Uzbekistan membuatkan mereka tertunggu-tunggu sehingga kesemua perlawanan selesai. Mereka gagal menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik dalam tempat ketiga kumpulan, menyebabkan kecaman daripada penyokong mereka atas prestasi mereka pada kali ini.

Myanmar pula menerima nasib malang terkeluar daripada saingan walaupun mencatatkan kemenangan ke atas Iran 2-0 pada aksi terakhir Kumpulan F. Ini kerana mereka terlepas kedudukan di tangga ketiga hanya disebabkan perbezaan gol.

Ini menjadikan hanya tiga daripada tujuh pasukan daripada Asia Tenggara berjaya mara ke saingan kalah mati acara bola sepak Sukan Asia 2018. Menarik untuk disaksikan sejauh mana wakil Asia Tenggara mara dalam kejohanan ini dan melakukan kejutan ke atas lawan daripada Asia Barat, Asia Tengah mahupun Asia Timur!