Berita Malaysia

Jepun adalah skuad muda namun hampir sempurna – OKS

Bahrain layak ke kelompok 16 terakhir setelah berjaya menumpaskan Malaysia 3-2 di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang semalam. Kemenangan tersebut meletakkan Bahrain di kedudukan ketiga daripada 4 pasukan terbaik di tempat ketiga.

Meskipun dengan kekalahan tersebut Malaysia tidak kerugian apa-apa kerana skuad Ong Kim Swee telah dinobatkan juara Kumpulan E sejurus mereka mengalahkan Korea 2-1 pada 17 Ogos lalu.

Namun begitu, Datuk Ong Kim Swee jelas tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan oleh anak buahnya ketika bertemu dengan wakil Asia Barat tersebut.

Anda mahu tewaskan Jepun, anda perlu berada pada tahap terbaik dan tidak ulangi kesilapan seperti menentang Bahrain”.

Itu ungkapan ketua jurulatih Harimau Muda kepada para pemainnya sejurus perlawanan penutup Kumpulan E bertemu Bahrain.

Memandangkan Malaysia bakal bertemu Jepun dalam aksi kalah mati Jumaat ini, Ong Kim Swee turut mengingatkan para pemainnya bahawa aksi seterusnya adalah lebih sukar.

“Jepun adalah skuad yang muda namun saya melihat mereka hampir sempurna kerana dibentuk sejak beberapa tahun lalu dan sudah membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.”

“Jika pemain mahu mencipta kejutan menewaskan Jepun, mereka perlu berada di tahap terbaik dan tidak boleh mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan pada aksi menentang Bahrain,” tegas Ong Kim Swee

Semasa perlawanan itu juga, Datuk Ong Kim Swee merehatkan hampir keseluruhan pemain utama dan menurunkan skuad simpanan.

Beliau melakukan demikian untuk memberikan peluang kepada pemain lain mempamerkan aksi dalam saingan kompetitif antarabangsa selain daripada mengelakkan risiko pemain utama ditimpa kecederaan.

Namun, jelas aksi yang ditonjolkan tidak seperti yang diharapkan dan beberapa pemain jelas menimbulkan rasa tidak puas hati Ong Kim Swee.

“Selepas ini, saya hanya akan menurunkan pemain terbabit sekiranya tiada pilihan. Kami masih berbaki tiga sesi latihan dan saya berharap mereka akan mempamerkan sesuatu yang positif,” jelasnya.