Malaysia Asia

Kita mesti menang ke atas Bahrain!

Hari ini pasukan Malaysia B23 akan bertemu dengan pasukan Bahrain B23 di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang bagi aksi terakhir Kumpulan E.

Walaupun Malaysia telah ditabalkan sebagai juara Kumpulan E dengan mengikut peraturan “head-to-head”, Malaysia perlu mengekalkan rentak kemenangan sebagai persediaan mental dan motivasi untuk menentang Jepun di peringkat 16 terakhir nanti.

Selain itu, anak buah Ong Kim Swee juga perlu melupakan kemenangan ke atas Korea pada perlawanan yang lalu dan menumpukan aksi menentang Bahrain.

“Kami perlu melupakan kemenangan itu dan apa sahaja yang diperkatakan tentang kejayaan bersejarah itu.”

“Kami perlu terus bekerja keras menghadapi aksi seterusnya.” kata pertahanan tengah B23, Dominic Tan.

Menurut beliau, setiap perlawanan adalah penting dengan aksi Bahrain tidak berbeza walaupun ia tidak akan mengubah kedudukan.

Sebagai rekod, Bahrain telah mengharungi 2 perlawanan dengan mencatatkan kekalahan 0-6 di tangan Korea dan seri 2-2 ketika menentang Kyrgyzstan jumaat lalu.

Bahrain pastinya akan bermain bermati-matian demi menghidupkan peluang untuk meletakkan mereka dalam kelompok 4 pasukan terbaik di tangga ketiga seterusnya melayakkan mereka menyertai Malaysia dan Korea ke saingan kalah mati.