Malaysia Piala Malaysia

KAFA tidak akan bayar gaji pemain yang mengadu di media sosial

Ingatkan sudah selesai, rupanya makin melarat.

Isu pemain tidak dibayar gaji bukanlah satu perkara yang asing di Liga Malaysia. Ada yang sehingga berbulan gaji tertunggak sehingga sukar meneruskan hidup dan terpaksa berhutang.

Ada pemain yang menyuarakan terus kepada pasukan, ada menggunakan saluran PFAM dan ada juga yang mungkin sudah terdesak, menyuarakan kekecewaan mereka menerusi laman sosial masing-masing.

Terbaru, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) telah menegaskan tidak akan membayar gaji mana-mana pemain The Red Warriors yang mengadu atau bercakap mengenai isu tuntutan gaji di laman media sosial.

Menurut laporan Kosmo, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mahu pemain yang berdepan masalah gaji datang sendiri ke pejabat KAFA dan bertemu dengannya untuk menyelesaikan masalah itu.

Bibi juga menyatakan bahawa pemain perlu bermain untuk pasukan dan penyokong dan bukan kerana gaji semata-mata.

“Cuba tanya pada diri pemain terbabit. Adakah mereka bermain untuk gaji semata-mata sedangkan mereka tahu pengorbanan yang telah dilakukan oleh KAFA.

“Saya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pemain yang masih belum menerima gaji.”

Adakah ini perkara yang wajar? Kenapa perlu diugut untuk tidak membayar gaji jika pemain menyuarakan di media sosial? Sepatutnya KAFA meneliti kenapa pemain berbuat demikian. Mungkin kerana bagi mereka sudah tiada jalan penyelesaian?

Apa-apa hal pun, semoga pihak KAFA dan pemain akan dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.