Liga Super Malaysia Piala Malaysia

Guilherme De Paula – penyerang berbisa skuad Ibu Kota!

Guilherme De Paula is on fire,

Your defense is terrified!

Mungkin itulah yang wajar dinyanyikan oleh penyokong Kuala Lumpur melihat kepada bisa penyerang Brazil, Guilherme De Paula dalam dua musim ini. Terbaru dia menjaringkan empat gol dalam perlawanan Piala Malaysia menentang Felcra FC pada hari Ahad yang lalu.

Empat jaringan De Paula itu menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya untuk Kuala Lumpur sebanyak 51 gol dan kini berada di tangga ketiga penjaring terbanyak sepanjang zaman Kuala Lumpur di belakang duo Singapura, K. Kannan (61 gol) dan Fandi Ahmad (67 gol).

Penyerang daripada Brodosqui itu telah mengatasi rekod jaringan Subadron Aziz (50), Saidin Osman (40), Azman Adnan (29) dan Safee Sali (23).

Zaman kegemilangan Kuala Lumpur dengan penyerang terbanyak sepanjang zaman, Fandi Ahmad. Photo credit: harimaumalayansss

Bagi penyokong KL generasi lama, mungkin mereka sudah biasa melihat penggempur berbisa menyarung jersi Kuala Lumpur. Pemain seperti Fandi Ahmad, Subadron Aziz, Azman Adnan dan ramai lagi telah membantu mencetak gol yang cukup banyak untuk Kuala Lumpur. Namun, bagi generasi baru penyokong Kuala Lumpur, sebelum kehadiran De Paula, mereka hanya dapat melihat penyerang Kuala Lumpur tumpul di depan gawang. Badrul Hisyam Azmi menjaringkan 9 gol di Liga Super pada tahun 2010 dan 2011. Kemudian Afiq Azmi pula mendahului senarai penjaring gol dengan 5 gol pada tahun 2012, tahun terakhir Kuala Lumpur beraksi di Liga Super sebelum terjerumus ke Liga Premier.

Kemudian Khairul Anuar Shafie pula menjadi penjaring terbanyak Kuala Lumpur dengan 5 gol dalam musim pertama mereka di Liga Premier. Ketumpulan di bahagian serangan memakan diri apabila Kuala Lumpur terjerumus pula ke Liga FAM.

Di Liga FAM pula, enam jaringan Romdhizat Jamian berjaya membantu Kuala Lumpur kembali ke Liga Premier. Namun, ketumpulan barisan serangan masih tidak diperbaiki. Liga Premier 2015 menyaksikan penjaring terbanyak Kuala Lumpur, Kalle Sonne dari Cameroon cuma menjaringkan empat gol. City Boys bernasib baik kerana kekal di Liga Premier dan membawa masuk penyerang Brazil, Anselmo Cassagrande yang kini beraksi untuk Felcra FA. Cassagrande berjaya menjaringkan sembilan gol untuk Kuala Lumpur, namun terpaksa digugurkan dalam separuh kedua musim ekoran kecederaan.

2017, akhirnya seorang pemain yang bakal menjadi lagenda Kuala Lumpur tiba di ibu kota. Dibantu taktikal menyerang Fabio Maciel, kreativiti Paulo Josue dan bantuan pemain di sekelilingnya, Guilherme De Paula mengamuk untuk Kuala Lumpur dengan 30 gol di Liga Premier sekaligus membantu City Boys bergelar juara dan kembali ke Liga Super.

Guilherme De Paula yang terkenal dengan gelaran Wak Doyok ini mungkin ada kalanya boleh membuatkan peminat geram dengan sikapnya yang ‘suka bolot’ dan kadang kala dilihat malas mengejar bola, tetapi tiada siapa boleh nafikan bahawa jika De Paula terus kekal di Kuala Lumpur musim hadapan, dia akan memecahkan rekod Fandi Ahmad.

Tunggu apa lagi pengurusan Kuala Lumpur? Buat apa sahaja untuk pastikan De Paula kekal di Cheras! Jangan biarkan penyerang berbisa ini berlalu pergi!