Malaysia Asia

Datuk Ong Kim Swee panggil semula Rodney, terpaksa gugurkan Daniel Amier

Nampaknya nasib pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie bertukar selepas dia dipanggil semula menyertai skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan Asia oleh Datuk Ong Kim Swee.

Rodney yang beraksi dengan pasukan PKNS di Liga Super dipanggil semula oleh Kim Swee bagi menggantikan tempat pemain tengah Felda United, Daniel Amier Norhisham yang terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan.

Sebelum ini Kim Swee telah menggugurkan Rodney dan penjaga gol Kuala Lumpur, Khatul Anuar serta memanggil penyerang JDT II yang sedang menjalani ujicuba di Jepun, Hadi Fayyadh bagi menggantikan tempat N. Thanabalan.

Skuad negara akan bertemu Republik Kyrgyzstan pada 15 Ogos ini dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E. Malaysia kemudian akan bertemu Korea Selatan pada 17 Ogos dan menutup aksi peringkat kumpulan menentang Bahrain pada 20 Ogos.

Dua pasukan teratas dan empat pasukan tempat ketiga terbaik setiap kumpulan akan mara ke peringkat 16 akhir.

Malaysia akan beraksi di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung dalam perlawanan bertemu Kyrgyzstan dan Korea Selatan sebelum bermain di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang ketika menentang Bahrain.