Luar Negara Piala Dunia 2018

England dan Brazil akan ke final Piala Dunia, kata Lothar Matthaus

Bekas pemain Jerman, Lothar Matthaus yakin England akan layak ke perlawanan akhir bertemu Brazil pada Piala Dunia kali ini.

Legenda berusia 57 tahun yang mengetuai Jerman menjulang Piala Dunia di Itali pada tahun 1990 itu mengganggap Gareth Southgate memiliki skuad yang berkualiti untuk layak ke final.

Katanya, England akan menang aksi suku akhir berdepan Sweden serta mampu mengatasi Croatia atau Russia dalam perlawanan separuh akhir untuk mara ke final di Moscow pada 15 Julai ini.

Matthaus mempunyai hubungan yang unik dengan England apabila beliau bersama rakan-rakannya menewaskan England di bawah bimbingan Bobby Robson dalam perlawanan separuh akhir 28 tahun lalu menerusi penentuan sepakan penalti.

Sejak itu, tiada pasukan Three Lions yang layak ke separuh akhir.

Namun, kegagalan England pada tahun 1994, 1998, 2002, 2006, 2010 dan 2014 bakal ditebus oleh generasi baharu yang diketuai Harry Kane.

“Saya menjangkakan Brazil akan bertemu England dalam final kerana Perancis dan Belgium berada dalam kelompok yang sama dengan Brazil dan mereka perlu bersaing untuk ke final.

“England memiliki skuad yang masih muda dan memiliki nafas baru dalam permainan mereka, kepantasan pemain dan mereka mempunyai Harry Kane. Kepercayaan terhadap kebolehan yang dimiliki pemain-pemain ini adalah kunci kejayaan mereka.

“Pemain-pemain ini juga bertuah kerana dapat menggabungkan segala ilmu yang diraih oleh jurulatih-jurulatih yang terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris,” katanya.