Piala Dunia 2018 Luar Negara

FIFA undang semua mangsa Gua Tham Luang ke perlawanan akhir Piala Dunia

Di saat semua pencinta bolasepak sedang menikmati kemeriahan Piala Dunia 2018 di Moscow, ada sekumpulan pemain cilik dan keluarga mereka sedang bersabung nyawa.

12 orang pemain cilik di Thailand dan jurulatih mereka kini sedang terperangkap di Gua Tham Luang yang terletak di Chiang Rai sejak 23 Jun yang lalu.

13 orang mangsa itu telah dijumpai dan usaha menyelamat sedang giat dijalankan walaupun berdepan kesulitan ekoran paras air yang tinggi di dalam gua.

Seorang penyelam yang turut terlibat dalam usaha menyelamat dilaporkan meninggal dunia kerana kekurangan oksigen selepas menghantar bekalan oksigen kepada mangsa-mangsa yang terperangkap.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menghantar sokongan kepada mangsa dan semua pasukan penyelamat yang sedang giat berusaha untuk menyelamatkan semua mangsa.

Selain itu, FIFA juga telah menghantar undangan kepada semua mangsa untuk menjadi tetamu khas bagi perlawanan akhir Piala Dunia yang akan berlangsung pada 15 Julai nanti.

Semoga kesemua 12 pemain dan jurulatih mereka akan dapat diselamatkan. Pastinya menyambut mereka di perlawanan akhir Piala Dunia adalah satu kejayaan bukan sahaja kepada mereka, tetapi juga buat semua pencinta bolasepak.

Kami di Football Tribe dan,kami pasti seluruh warga dunia yang mencintai bolasepak mendoakan agar mereka akan segera dapat diselamatkan. Kepada semua anggota pasukan penyelamat, teruskan usaha anda dan bawalah mereka pulang kepada keluarga mereka. Seperti dalam sukan bolasepak, jika kita berusaha, tiada yang mustahil!