Pemain tengah Sepanyol, Andres Iniesta mendedahkan perasaannya yang sedih dan berasa pahit setelah karier antarabangsanya berakhir dengan begitu sahaja selepas pasukannya tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti kepada Rusia dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia, awal pagi tadi.
Pemain berusia 34 tahun itu hanya sekadar di bangku simpanan berdepan Rusia pada mulanya tetapi beliau dibawa masuk pada separuh masa kedua.
Perlawanan itu berakhir dengan keputusan 1-1 pada masa tambahan dan Rusia memenangi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas penalti Iago Aspas diselamatkan penjaga gol Russia, Igor Akinfeev.
“Ia adalah bukan cara yang baik untuk mengucapkan selamat tinggal, tetapi inilah bola sepak,” kata Iniesta.
“Saya meninggalkan pasukan kebangsaan dengan rasa yang teruk. Kami perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal meneruskan perjuangan,” katanya.
Sepanyol menyertai Argentina, Portugal dan Jerman sebagai pasukan gergasi yang terkandas awal dalam saingan Piala Dunia kali ini.
Walaubagaimanapun, Iniesta percaya pasukan La Roja masih mempunyai masa depan yang cerah.
“Apa yang paling penting adalah bagaimana untuk kembali menemui kejayaan, yang mana ia bukannya mudah. Ia lebih sukar daripada yang dibayangkan. Tetapi kami mempunyai generasi pemain baharu dan pemain yang berkualiti tinggi,” katanya.
Lapan tahun lalu, Iniesta menjaringkan gol kemenangan sekali gus membawa Sepanyol menjadi juara Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah.
Legenda Barcelona itu bakal menyertai pasukan Liga Jepun, Vissel Kobe musim depan. – AFP