Piala Dunia sememangnya merupakan pentas untuk pemain-pemain bola sepak menunjukkan kemampuan. Pemain yang tidak terlalu dikenali sering meraih peningkatan nilai selepas beraksi dalam saingan yang berlangsung empat tahun sekali itu. Berikut adalah beberapa nama besar yang mungkin meraih peningkatan harga berdasarkan aksi cemerlang di Piala Dunia 2018.
Jose Gimenez
Sebelum Piala Dunia 2018, bek muda Uruguay ini sudah diletakkan pada nilai EUR45 juta. Nilai itu bertambah apabila klausa perpindahannya ditetapkan berjumlah EUR65 juta. Namun, jika melihat penampilan epiknya di Russia, mungkin pasukan yang berminat perlu menyediakan dana melebihi EUR100 juta.
Jesse Lingard
Tatkala peminat-peminat Manchester United memberikan sepenuh perhatian buat Marcus Rashford, Lingard tidak kalah daripad segi potensi yang dimiliki. Berbekalkan penampilan cemerlang bersama England setakat ini, nilai Lingard dianggarkan sudah melebihi EUR35 juta.
Aleksandr Golovin
Golovin adalah pemain berbakat paling hangat di Piala Dunia 2018. Perancang berusia 22 tahun ini mencatat gol dan mencipta bantuan jaringan ketika aksi pembukaan Russia bertemu Arab Saudi. Selepas penampilan yang luar biasa, Juventus dikhabarkan telah memberikan tawaran EUR15 juta kepada CSKA Moscow, namun majikan Golovin itu mahukan sekitar EUR25-EUR30 juta.
Hirving Lozano
Menjaringkan gol tunggal sewaktu Mexico menundukkan Jerman, Lozano lantas menjadi salah seorang bintang di Russia 2018. Pemain berusia 22 tahun yang mewakili PSV Eindhoven ini pasti menarik minat beberapa kelab besar tetapi mereka harus berbelanja sebanyak EUR25 juta.
Hakim Ziyech
Walaupun tidak menyumbat sebarang gol di Piala Dunia 2018, pemain tengah menyerang milik Maghribi ini dijamin akan menjadi sasaran kelab-kelab besar Eropah. Ketika ini, pemain yang mampu menggelecek dengan baik ini masih menyarung jersi Ajax dalam saingan Eredivisie Belanda tetapi AS Roma dan Liverpool sedang mengejarnya.
Juan Quintero
Quintero adalah bintang Colombia ketika peringkat kumpulan. Dia mencatat satu gol dan dua bantuan jaringan, namun masih belum menyerlah di Eropah. Ketika ini, dia dia sedang dipinjamkan kelab asalnya, FC Porto, ke River Plate di Argentina. Jika kelab-kelab Eropah mahukan khidmatnya, mereka harus mengeluarkan wang lebih EUR10 juta, sekaligus mencatat peningkatan ketara kerana sebelum Piala Dunia 2018, dia dinilai EUR4 juta.
Yussuf Poulsen
Yussuf Yurary Poulsen telah beraksi bersama RB Leipzig sejak 2013, jadi kini dia mencari kelab baru. Penampilannya di Piala Dunia 2018 bersama Denmark telah meningkatkan tanda harganya yang dijangka melebihi EUR10 juta. Kemanakah hala tuju Poulsen selepas ini?
Damagoj Vida
Dia langsung tidak dikenali sebelum Piala Dunia 2018 tetapi nama Vida menjadi sasaran kebanyakan kelab kerana penampilannya bersama Croatia. Banyak pihak bersetuju bahawa Vida beraksi lebih bagus berbanding rakans sepasukannya di barisan bawah, Dejan Lovren. Sebelum ini, dia dianggarkan EUR7 juta tetapi nilai itu mungkin bertambah dua kali ganda selepas aksi di Russia selesai.