Piala Dunia 2018 Santai

Bakal berentap dengan Kylian Mbappe, ini perjalanan kerjaya bola sepak Edinson Cavani

Dua gol oleh Edinson Cavani sudah memadai untuk menghantar Juara Eropah 2016 pulang ke Lisbon. Satu gol tandukan mengelirukan pertahanan Portugal setelah melakukan ‘change side’ mencari Luis Suarez manakala satu gol lagi adalah rembatan ‘curl’ cantik menewaskan Rui Patricio.

Berumur 31 tahun, pemain ini memulakan kerjayanya di tanah kelahirannya bersama Danubio FC. Setelah menarik beberapa kelab besar dari Itali, Palermo muncul mengumumkan menandatangani penyerang berbakat ini. Pernah menggegarkan Serie A dan dipancing oleh bekas kelab Diego Maradona, SSC Napoli.

Kini pemain ini bermain di Perancis bersama Paris Saint-Germain. Dua gol Edinson Cavani berjaya membawa Uruguay melangkah ke saingan suku akhir bertemu Perancis. Menarik untuk disaksikan, Edinson Cavani bakal berentap dengan rakan sepasukannya di PSG, Kylian Mbappe yang juga cemerlang menjaringkan dua gol untuk menghantar Lionel Messi dan rakan-rakan pulang ke Buenos Aires.

Berikut adalah perjalanan kerjaya bola sepak Edinson Cavani:

Danubio FC

Memulakan kerjaya bola sepaknya bersama kelab Danubio FC yang berpengkalan di Uruguay. Mula mendapat tempat dalam skuad utama pada tahun 2005. Bermain di dalam liga Primera Division dan halaman rasminya adalah Estadio Jardines del Hipodromo dengan kapasiti 16,000 tempat duduk. Bersama kelab ini, Edinson Cavani berjaya mengecapi kejuaraan liga musim 2006/07.

Palermo

Berikutan prestasi yang cemerlang ketika di kejohanan remaja Amerika Selatan, beberapa kelab besar seperti Juventus dan AC Milan menunjukkan minat terhadap Edinson Cavani. Namun, pada Januari 2007 presiden Palermo mengumumkan menandatangani pemain ini. Pada musim 2008/09 Edinson Cavani berjaya menjaringkan 14 gol liga bersama Palermo. Musim berikutnya, Edinson Cavani menjadi antara pemain utama yang membawa Palermo layak ke Liga Juara-Juara Eropah setelah menamatkan musim tersebut di tangga ketiga Serie A.

Napoli

Musim panas 2010, Edinson Cavani dipinjamkan ke Napoli dengan pilihan klausa jual beli. Musim tersebut Edinson Cavani berjaya menjaringkan 25 gol dalam Serie A. Hanya Antonio di Natale yang lebih banyak jaringan berbanding beliau. Tamat musim tersebut, Edinson Cavani menandatangani kontrak lima tahun bersama Napoli. Sepanjang bersama Napoli, dia berjaya memenangi Coppa Italia pada musim 2011/12. Selain itu, dia merupakan penjaring gol terbanyak Coppa Italia musim 2011/12 dan liga Serie A musim 2012/13 dengan 29 gol.

Paris Saint-Germain

Berpindah ke Paris Saint-Germain pada musim panas 2013. Yuran perpindahannya sekitar 64 juta dengan 5 tahun kontrak. Pelbagai kejuraan yang dikecapi olehnya di Perancis seperti juara Ligue 1, Piala Perancis dan Piala Liga Perancis. Dua kali menjadi penjaring terbanyak liga pada musim 2016/17 dan musim 2017/18 dengan masing-masing 35 dan 28 gol.

Skuad kebangsaan Uruguay

Mula bermain bersama skuad kebangsaan sekitar tahun 2007 bersama skuad B20. Kejohanan remaja Amerika Selatan telah menjadikannya penjaring terbanyak kejohanan dengan 7 gol. Mula mendapat tempat dalam skuad senior pada tahun 2008. Antara anggota skuad Uruguay yang menjurai Copa America 2011. Setakat ini, Edinson Cavani berjaya beraksi sebanyak 3 edisi Piala Dunia iaitu pada tahun 2010, 2014 dan 2018. Pencapaian terbaik beliau dan Uruguay adalah pada edisi 2010 dimana Uruguay berjaya menduduki tempat ke-4.