Luar Negara Eropah

Koleksi transfer rumours terhangat di Eropah: 1 Julai 2018

Bagi pemain bola sepak, pemilihan pasukan yang tepat menjadi satu persoalan yang sering menghantui mereka setiap kali cuba untuk berhijrah. Situasi sama turut dihadapi oleh setiap kelab di dunia termasuk Eropah kerana jika tersilap, pelaburan mereka hanya menjadi sia-sia. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Memphis Depay dan Angel di Maria di Manchester United, Fernando Torres di Stamford Bridge serta James Rodriguez sebelum dipinjamkan ke Bayern Munich dari Real Madrid.

Justeru, setiap pemain akan cuba mendapatkan kelab yang sesuai dengan cara permainan mereka dan begitu juga dengan barisan kelab di Eropah. Berikut adalah koleksi transfer rumours terhangat di Eropah pada hari ini:

Max Meyer

Pemain tengah yang mampu beraksi di bahagian secara menyerang dan bertahan ini bergelar ejen bebas selepas kontraknya bersama Schalke tamat pada hari ini. Dia dikatakan menuntut kontrak yang lebih lumayan memandangkan sumbangan yang telah diberi buat kelab Bundesliga itu. Kini, Arsenal yang sudah lama mengidamkan khidmat Meyer pasti akan cuba mengejarnya, namun perlu bersedia mengikut tuntutan bayaran gaji bernilai GBP4 juta setahun.

Ever Banega

Satu lagi spekulasi perpindahan melibatkan The Gunners. Pengendali baru, Unai Emery, dikatakan bercadang untuk kembali bergabung bersama pemain tengah Argentina ini selepas pernah bersama sewaktu di Sevilla. Tindakan kelab LaLiga itu mendapatkan khidmat pemain Swansea City, Roque Mesa, menjadikan khabar angin mengenai Banega untuk ke England semakin hangat.

Gelson Martins

Martins merupakan salah seorang daripada kelompok pemain yang menamatkan kontrak bersama Sporting Lisbon, baru-baru ini. Pemain sayap Portugal ini telah menarik perhatian Everton dan Everton untuk cuba membawanya ke England. Gergasi Portugal, Benfica, turut dikaitkan dengan pemain berusia 23 tahun ini, namun selepas ejennya mendedahkan tiada perjanjian dicapai bersama seteru Sporting itu, peluang Liverpool dilihat cerah.

Karim Benzema

Pemenang tiga kali Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid ini sering dikaitkan dengan jalan keluar dari Santiago Bernabeu. Memandangkan kini Los Blancos sedang berusaha keras untuk mendapatkan khidmat Robert Lewandowski, Benzema mungkin perlu mengangkat kaki. Situasi itu telah dihidu pengendali Napoli, Carlo Ancelotti, namun bayaran tinggi bernilai EUR8.5 juta yang diterima bekas penggempur Olympique Lyon itu ketika ini mungkin menimbulkan masalah.

Suso

Bekas pemain Liverpool ini menampilkan aksi lebih konsisten di Itali berbanding di Anfield. Keadaan itu menyebabkan ejennya menawarkan peluang buat pemain berusia 24 tahun itu untuk ke Real Madrid. Dia dijangka akan memegang tanda harga bernilai sekitar GBP40 juta. Perpindahan ke Santiago Bernabeu dilihat mampu menjadi kenyataan memandangkan pengendali baru Los Blancos, Julen Lopetegui, pernah menjadi jurulatih buat Suso ketika dalam skuad muda Sepanyol.