Kajian & Analisis Berita

Ini komen wartawan Thai tentang ‘debut’ Shahrel Fikri bersama Nakhon Ratchasima

Shahrel Fikri berjaya membuat penampilan pertama bersama skuad Nakhon Ratchasima apabila turun berentap Sukhothai FC malam semalam. Perlawanan tersebut menyaksikan pertembungan di antara dua pemain Malaysia, iaitu Shahrel Fikri yang mewakili skuad Swat Cats, dan juga Curren Ferns, yang beraksi untuk Sukhothai FC.

Sukhothai terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada babak pertama, menerusi jaringan sepakan penalti Nelson Bonillo. Penalti tersebut dihadiahkan selepas Shahrel melakukan ‘foul’ di dalam kotak penalti, sekaligus menerima kad kuning daripada pengadil perlawanan untuk kesalahan tersebut.

Namun, skuad Swat Cats berjaya bangkit semula pada penghujung babak pertama, apabila bintang Korea Selatan, Won Jae-kee meledak gol penyamaan pada minit ke-43. Kedua-dua pasukan cuba mencari gol kemenangan pada separuh masa kedua, namun skor perlawanan kekal 1-1 sehingga tamat 90 minit.

Berikut adalah beberapa pemerhatian rakan kami di Goal Thailand, Alongkhot Doenkloy, tentang aksi ‘debut’ Shahrel Fikri di Stadium Thung Thalay Luang:

TIDAK EFEKTIF SEBAGAI 'TARGET MAN'

"Sepanjang perlawanan semalam, Shahrel Fikri kurang memberi impak di atas padang sebagai 'target man'. Nakhon Ratchasima mengalami kesusahan dalam mencipta peluang di bahagian serangan, dan Shahrel merupakan antara sebab besar di sebalik kegagalan mereka meraih kemenangan malam semalam. Dia nampak sedikit keliru tentang peranannya di atas padang, dan gagal mencari ruang untuk membuat percubaan. Malah, dia juga melakukan foul yang menghadiahkan sepakan penalti buat Sukhothai pada awal babak pertama."

- Alongkhot Doenkloy, Goal Thailand

MASALAH KOMUNIKASI

"Antara faktor yang jelas memberi impak yang negatif terhadap persembahan Shahrel Fikri malam semalam adalah masalah komunikasi di antara beliau dan rakan sepasukannya. Shahrel baru sahaja tiba di Thailand, dan tahap kesefahaman bersama rakan sepasukan masih berada di tahap yang kurang memuaskan. Shahrel juga perlu mencari jalan untuk mengatasi isu perbezaan bahasa."

- Alongkhot Doenkloy, Goal Thailand

KEPANTASAN CORAK PERMAINAN LIGA THAI

"Satu lagi perkara yang jelas malam semalam adalah Shahrel mengalami kesusahan untuk menyesuaikan diri dengan kepantasan corak permainan Liga Thai 1. Mungkin corak permainan di Malaysia lebih perlahan kerana beliau sering lambat masuk ke dalam kotak penalti apabila Nakhon Ratchasima melakukan gerakan serang balas. Sepanjang perlawanan semalam, Shahrel hanya melakukan satu percubaan 'on-target'."

- Alongkhot Doenkloy, Goal Thailand

FAKTOR PENGALAMAN

"Mungkin Shahrel memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri kerana faktor pengalaman juga memainkan peranan yang besar. Di sini, beliau dipandang sebagai pemain import jadi jangkaan peminat juga sudah tentu cukup tinggi. Namun, hakikatnya adalah Shahrel masih berumur 23 tahun dan mungkin akan mengalami kesukaran dalam minggu-minggu akan datang."

- Alongkhot Doenkloy, Goal Thailand