Luar Negara Piala Dunia 2018

Jerman bermain lebih teruk, tetapi bernasib baik-Joachim Low

Jurulatih Jerman, Joachim Loew mengakui pasukannya bermain jauh lebih teruk menentang Sweden berbanding kekalahan terhadap Mexico dan menyifatkan pasukannya bertuah apabila sepakan Toni Kroos pada masa kecederaan menghidupkan semula peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya.

Kata-kata Low ada benarnya selepas Ola Toivonen menjaringkan gol pendahuluan untuk Sweden di separuh masa pertama sebelum Marco Reus menyamakan kedudukan namun mereka terus bergelut untuk menjaringkan sebarang gol ketika masa permainan sudah menghampiri ke penghujungnya.

Apa yang lebih menyusahkan apabila pertahanan utama Jerome Boateng dibuang padang pada minit ke-82 selepas dilayangkan kad kuning kedua.

Namun Kroos yang pada awalnya melakukan kesilapan hingga terhasilnya jaringan pertama Sweden menebus semula kesalahannya dengan memberikan kemenangan kepada Jerman pada minit ke-95 hasil sepakan percuma ke penjuru gawang yang pantas melintasi penjaga gol Sweden, Robin Olsen.

“Kemenangan ini adalah satu tuah dalam masa kecederaan dan kami bangkit daripada ketinggalan,” kata Low kepada media Jerman, ARD.

“Ia satu keputusan yang berhak kami dapat kerana kami percaya kepada diri sendiri. Kami membuktikan yang kami mempunyai semangat tinggi dalam skuad dan Sweden sebenarnya hanya mempunyai dua peluang sahaja dalam perlawanan ini.

“Kesilapan sentiasa akan berlaku walaupun kepada pemain seperti Kroos, jadi saya gembira kerana beliau kemudian menjaringkan gol.

“Hari ini kami melihat hantaran lebih teruk berbanding ketika berdepan Mexico dan ketika kami terlalu fokus terhadap serangan, satu kesilapan boleh menyebabkan gawang kami dibolosi,” katanya. – AFP