Luar Negara Piala Dunia 2018

Cristiano Ronaldo terkejut dengan kekuatan Maghribi

Cristiano Ronaldo mahu rakan sepasukan Portugalnya mempertajamkan kualiti permainan sedia ada selepas sekadar menang tipis 1-0 kepada Maghribi dalam saingan Kumpulan B Piala Dunia.

Malah, penyerang Real Madrid itu jugalah yang menjaringkan gol kemenangan malam semalam namun ketumpulan jentera serangan serta kualiti yang ditunjukkan oleh pasukan pihak lawan menyebabkan Portugal hampir-hampir dibolosi.

Kualiti jentera serangan Portugal juga tidak seperti ketika mereka bertemu Sepanyol yang menyaksikan pelbagai peluang dicipta sehingga Ronaldo berjaya menjaringkan hatrik tempoh hari.

Maghribi pula nampaknya telah berjaya meningkatkan prestasi mereka selepas gagal memperoleh sebarang mata apabila kalah tipis 1-0 kepada Iran dalam perlawanan pembukaan.

“Kami tahu jika kami tewas, kami akan terkeluar. Kami tahu Maghribi akan memberikan segala yang mereka ada. Ia adalah mengejutkan pada awalnya kerana mereka sangat kuat,” kata Ronaldo.

“Tapi saya sangat gembira. Perkara terpenting adalah memenangi perlawanan dan memenangi tiga mata penuh.

“Saya berjaya menjaringkan gol, ia adalah bagus untuk saya.

“Jangkaan kami adalah meneruskan usaha dan cuba membaiki prestasi dalam peringkat kumpulan.

“Kami hampir di sana (peringkat kalah mati) dan kemudian kita lihat bagaimana. Kami mahu mengambil pendekatan satu demi satu perlawanan. Kami cuba untuk berada di kedudukan teratas dalam kumpulan,” katanya.

Portugal akan bertemu Iran dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 25 Jun ini di Saransk.- AFP