Luar Negara Piala Dunia 2018

Piala Dunia sememangnya sukar, kata Luis Suarez

Meskipun Luis Suarez mencatatkan sejarah apabila beraksi bersama Uruguay buat kali ke-100 dalam kariernya serta membawa negaranya ke pusingan kalah mati, beliau akui sukar untuk memenangi perlawanan dalam Piala Dunia.

Suarez menjaringkan satu-satunya gol kemenangan selepas penjaga gol Mohammed Al-Owais gagal menangkap kemas bola dari sepakan sudut.

Jaringan itu meletakkan Uruguay di tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata di belakang tuan rumah Rusia.

Ia bukan jaringan terbaik Suarez tetapi memadai untuk memperoleh tiga mata penuh.

“Apa yang kami mahukan adalah kemenangan dan layak ke pusingan berikutnya.

“Hari ini satu lagi bukti bahawa sukar untuk menang perlawanan Piala Dunia.

“Piala Dunia membuktikan apa yang lebih penting adalah keputusan, kami berbangga dapat mara ke kelompok 16 terakhir buat kali ketiga berturut-turut,” katanya.

Sekurang-kurangnya Suarez yang gagal menyempurnakan tiga peluang buat Uruguay ketika menewaskan Mesir 1-0 sebelum ini masih boleh berbangga dengan jaringannya yang ke-52 untuk negaranya.

Arab Saudi yang tidak pernah memenangi perlawanan Piala Dunia sejak penampilan sulung pada 1994, gagal meraih sebarang mata seperti juga Mesir yang tewas 1-3 kepada Rusia.

Selepas dibelasah Russia 5-0 pada perlawanan pembukaan, Arab Saudi tampil lebih mantap namun masih gagal menjaringkan sebarang gol ketika ini.

Bergantung kepada keputusan perlawanan terakhir kumpulan berdepan Rusia, Uruguay akan menentang sama ada Sepanyol, Portugal atau Iran dalam Kumpulan B untuk layak ke suku akhir.- Reuters