Luar Negara Piala Dunia 2018

Deschamps akui lebih sukakan Griezmann berbanding Giroud

Didier Deschamps mendedahkan beliau lebih gemar untuk menurunkan Antoine Griezmann berbanding Olivier Giroud meskipun Griezmann dibelenggu kecederaan pergelangan kaki bagi menghadapi Peru dalam aksi Kumpulan C, Piala Dunia Russia, malam ini.

Griezmann menjaringkan gol pembukaan menerusi penalti yang dibantu dengan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika mencatatkan kemenangan 2-1 Perancis ke atas Australia di Kazan minggu lalu.

Penyerang Atletico Madrid itu bagaimanapun digantikan sebelum permainan melewati sejam malah kelihatan tidak gembira dengan persembahan longlai yang dipamerkan Perancis.

Menjelang pertembungan dengan Peru di Ekaterinburg, ketua jurulatih, Deschamps, disoal mengenai Griezmann.

“Dia baik-baik sahaja tetapi ada sedikit masalah dengan salah satu pergelangan kakinya kerana ia membengkak selepas perlawanan. Dia berlatih seperti biasa,” kata Deschamps kepada Four Four Two.

“Dia tidak berada dalam keadaan terbaik. Dia kepenatan tetapi dia menjaringkan gol dan kita memutuskan untuk membawanya keluar supaya kami dapat menyuntik sesuatu yang berbeza. Ia tidak mengubah keputusan perlawanan.

“Jika dia kekal di atas padang, keputusannya mungkin berbeza dan soalan anda juga pasti berbeza. Penggantinya menawarkan sesuatu yang berbeza.”

Tiga pemain hadapan Perancis khususnya, dikritik hebat selepas perlawanan menentang Australia, namun Deschamps tetap yakin terhadap gandingan Griezmann, Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele, meskipun Olivier Giroud mempunyai kualitinya yang tersendiri.

“Kami akan melihatnya hari ini. Masalahnya, Olivier suka bergerak bersendirian,” katanya.

“Dia tidak sama dengan pemain lain tetapi ketika dia tidak berada di atas padang, kami menyedari betapa pentingnya kelibatnya. Dia akan dipertimbangkan dalam kesebelasan utama,” katanya.

Deschamps mengakui Perancis harus tampil lebih baik ketika menentang pasukan yang berbakat seperti Peru.

“Ketika ini apa yang saya nampak banyak pasukan yang menghadapi kesulitan sama seperti kami dan meraih keputusan yang serupa,” katanya.

Penjaring terbanyak Peru, Paolo Guerrero, dijangka memainkan peranan utama selepas tewas 0-1 kepada Denmark biarpun mereka menguasai sebahagian besar perlawanan.