Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Lukaku meletup di Sochi, bantu Belgium tumpaskan Panama 3-0

Perlawanan pertama Kumpulan G malam ini menemukan pasukan Belgium dan juga pasukan Panama yang pertama kali menjejakkan kaki ke pentas Piala Dunia.

Perlawanan bermula dengan agak seimbang namun Belgium pantas menguasai permainan dan menyerang Panama dengan bertubi-tubi. Sesekali pasukan Panama melancarkan serangan balas dengan pantas namun tidak dapat melepasi gawang yang dijaga kemas oleh Curtois. Separuh masa pertama kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Lain pula kisahnya pada babak kedua, Panama seakan-akan hilang momentum setelah Mertens melepaskan satu rembatan ‘volley’ melepasi Penedo untuk mendahului. Setelah itu, Belgium semakin bernafsu untuk menambahkan jaringan dan Romelu Lukaku menanduk masuk hantaran cantik oleh Kevin De Bruyne sebelum melengkapkan hari gemilang beliau selepas menyempurnakan lorongan oleh Eden Hazard untuk gol ketiga Belgium.

Berikut adalah beberapa pemerhatian yang kami dapati dalam perlawanan ini:

Penedo separuh masa pertama vs separuh masa kedua

Penjaga gol Panama ini beraksi cemerlang terutamanya pada separuh masa pertama. Beliau telah menafikan tiga ‘shots’ daripada Eden Hazard pada babak pertama. Penjaga gol bagi kelab Dinamo Bucuresti, Belgium mempamerkan disiplin yang mantap selain meletakkan diri dalam posisi yang betul setiap kali menghadapi serangan pasukan Belgium. Namun beliau terpaksa akur apabila bolos 3 gol pada separuh masa kedua.

Kompak lagi padat

Itulah yang yang dapat diungkapkan bagi menggambarkan corak permainan defensif Panama apabila diserang oleh Belgium pada separuh masa pertama. Tugas bertahan ini bukan sahaja terletak pada pemain pertahanan, pemain tengah juga turun ke bawah bagi membantu melindungi barisan pertahanan mereka seterusnya menyukarkan pemain Belgium untuk menjaringkan gol. Lain ceritanya pada separuh masa kedua, mereka kehilangan momentum dan pemain Belgium mudah menjaringkan 3 gol untuk 3 mata penuh mereka.

Lukaku hero Belgium

Separuh masa pertama, rakan sepasukan tidak dapat membekalkan bola dengan baik kepadanya ekoran beliau tenggelam dalam barisan pertahanan Panama. Eden Hazard, Kevin De Bruyne mahupun Alex Witsel sukar menghantar bola kepada penyerang Manchester United ini kerana kepadatan pemain Panama berkampung di hadapan gol. Separuh masa kedua, Lukaku menanduk baik hantaran dari Kevin De Bruyne dan menyudahkan lorongan Eden Hazard untuk mengalahkan penjaga gol Panama, Penedo.

Eden Hazard cemerlang

Separuh masa pertama sahaja beliau telah merekodkan 3 ‘shots on target’. Larian dan gelecekan beliau sering membuatkan pertahanan Panama berhempas-pulas untuk mengekangnya. Banyak berlegar-legar di sayap kiri dan sesekali cuba masuk untuk menembusi pertahanan Panama melalui kawasan ‘half space’. Kemuncaknya beliau melorongkan satu bola cantik kepada Romelu Lukaku untuk gol ketiga Belgium.

Aksi pertama Panama

Prestasi pertama kali mereka dalam kancah Piala Dunia ini seharusnya diberikan pujian. Biarpun mereka kalah 3-0 kepada Belgium namun mereka telah memberikan saingan yang hebat kepada Belgium. Tenang ketika diasak oleh serangan demi serangan Belgium terutamanya pada separuh masa pertama, mereka juga menunjukkan keupayaan untuk melancarkan serangan dan membuatkan pemain Belgium tidak leka dengan serangan mereka. Jelasnya, Panama harus memperbaiki mutu serangan mereka terutamanya ketika di ‘final third’ lawan untuk meningkatkan peluang mereka menjaringkan gol.