Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Tunisia cemerlang menyaingi England, naluri pemusnah Harry Kane jadi pemisah

England berjaya menewaskan Tunisia dengan jaringan 2-1 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B yang berlangsung di Volgograd, awal pagi tadi.

Harry Kane menjadi wira apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-11 selepas pantas bertindak terhadap bola muntah tampanan Mouez Hassen sebelum beliau sekali lagi bertindak pantas menanduk masuk tandukan ‘flick’ daripada Harry Maguire pada minit pertama masa kecederaan babak kedua.

Pasukan Tunisia pula memperoleh gol saguhati setelah Ferjani Sassi menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-35 akibat kekasaran terhadap Fakhreddine Ben Youssef oleh Kyle Walker.

Berikut merupakan beberapa pemerhatian daripada kami sepanjang perlawanan tadi:

Tindak balas Harry Kane bukti kepada naluri pemusnah beliau

Harry Kane sangat dikenali dengan naluri pemusnah beliau di hadapan gol sepanjang 4 musim ini. Setelah bergelut di pentas antarabangsa pertama beliau 2 tahun yang lalu, beliau tampak lebih bersedia untuk menghadapi pentas antarabangsa kedua beliau dan beliau terus membuktikannya dengan 2 reaksi pemusnah yang pantas setelah Mouez Hassen menampan bola daripada tandukan Ashley Young pada minit ke-11 serta tandukan jarak dekat pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Kyle Walker, mengapa anda layangkan lengan anda?

Agak malang buat Kyle Walker kerana menghadiahkan penalti tersebut namun beliau perlu muhasabah diri beliau, mengapa beliau melayangkan lengan beliau tatkala pemain lawan sedang dalam perebutan bola bersama anda? Fakhreddine hanya perlu melanggar lengan beliau untuk pengadil memutuskan itu adalah satu foul dan memberikan sepakan penalti.

Mouez Hassen sangat cemerlang pada awal perlawanan

Penulis amat tertarik dengan aksi Mouez Hassen di awal perlawanan. England berjaya memperoleh beberapa peluang awal namun beliau cemerlang menafikan peluang tersebut sebelum beliau ditumpaskan oleh Harry Kane pada minit ke-11. Sangat malang buat beliau apabila terpaksa dikeluarkan seawal minit ke-15 akibat kecederaan pada bahu kiri beliau.

Elemen keras Tunisia diseimbangkan dengan gerakan-gerakan pantas

Ada 2 aspek dalam permainan pasukan Tunisia yang perlu diambil perhatian. Pertama, mereka sangat pantas ketika mempunyai bola dan melakukan gerakan-gerakan menyerang. Kedua, mereka begitu agresif ketika tidak mempunyai bola dan sangat keras dalam perebutan bola. Keseimbangan yang dipamerkan oleh Tunisia dalam mengadunkan kedua-dua elemen ini membolehkan mereka menyaingi pasukan England sepanjang perlawanan tadi berlangsung.

Ashley Young dan Kieran Trippier merupakan ancaman terbesar England

Ashley Young dan Kieran Trippier sangat banyak membantu dalam gerakan-gerakan menyerang pasukan England, terutamanya apabila England menyerang daripada bahagian sisi. Hantaran-hantaran lintang mereka juga amat berbahaya, memandangkan mereka mempunyai Harry Kane di kawasan tengah serta Dele Alli, Jesse Lingard dan Raheem Sterling yang mungkin boleh mengambil kesempatan terhadap bola-bola muntah daripada hantaran-hantaran lintang tersebut.