Malaysia Liga Super Malaysia

Gagal ujian doping, Syihan Azmi digantung 20 bulan

Bekas penjaga gol skuad bawah 23 (B-23) negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dikenakan penggantungan selama 20 bulan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Keputusan itu bermakna Syihan terlepas daripada hukuman mandatori iaitu digantung selama empat tahun daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak.

Katanya, kes itu akan dijadikan pengajaran berguna buat dirinya untuk lebih berhati-hati semasa mengambil makanan tambahan.

“Saya bersyukur kerana tidak digantung empat tahun. Saya perlu berterima kasih kepada AFC dan ejen saya, Effendi Jagan Abdullah yang banyak membantu dalam kes ini.

“Sekarang ini saya perlu habiskan banyak masa di gym untuk mengekalkan stamina dan berat badan. Bukan mudah menghabiskan tempoh penggantungan yng masih berbaki 16 bulan, tapi saya perlu lakukannya demi kerjaya.

“Ketika ini, saya juga ada melakukan beberapa kerja termasuk menolong kawan dalam perniagaan untuk mendapatkan pendapatan sampingan,” katanya kepada Berita Harian.

Terdahulu, Effendi mengesahkan Syihan digantung 20 bulan selepas melakukan dua sesi pendengaran kes oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC pada 30 dan 31 Mei lalu.

Pada 13 Februari lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya menerima surat daripada AFC pada 6 Februari yang memaklumkan bahawa Syihan didakwa positif metabolite methandienone iaitu sejenis bahan larangan yang berada dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari lalu.

Syihan didapati bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan digantung sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, persahabatan dan rasmi.