Santai Luar Negara

Diktator kejam di seluruh dunia dan kelab bolasepak yang diminati mereka

Individu-individu seperti Adolf Hitler dan Joseph Stalin cukup dikenali orang ramai kerana kekejaman rejim masing-masing, namun hakikatnya adalah setiap diktator di luar sana juga merupakan seorang manusia biasa. Dan sebagai seorang manusia biasa, mereka juga meminati sukan, termasuk bolasepak.

Berikut adalah senarai kelab bolasepak yang diminati oleh diktator-diktator kejam di seluruh dunia:

Joseph Stalin - Dynamo Moscow

Bekas diktator Soviet Union ini dikatakan merupakan peminat kelab Dynamo Moscow. Selepas kematian Stalin, siasatan yang dilakukan oleh beberapa pihak mendedahkan bahawa kelab tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak polis Soviet Union ketika Stalin masih berkuasa. Malah, kelab tersebut turut diberi nama jolokan 'Musora', iaitu Polis dalam bahasa Rusia.

Kredit Foto: Newsweek

Francisco Franco - Real Madrid

Bekas diktator Sepanyol ini pada mulanya meminati Atletico Madrid, namun kemudiannya membuat keputusan untuk menyokong Real Madrid selepas kelab tersebut meraih gelaran Piala Eropah (kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Eropah) buat pertama kali pada tahun 1956.

Kredit Foto: History Channel YouTube

Muammar Ghaddafi - Liverpool

Ghaddafi, yang pernah memerintah Libya sebagai seorang diktator, dikatakan merupakan seorang penyokong Liverpool kerana sebuah cawan yang memaparkan logo kelab tersebut dijumpai di atas meja Ghaddafi apabila proses rampasan kuasa dicetuskan pada tahun 2011. Selain itu, Ghaddafi dijuga dilaporkan meminati pasukan Perugia, kerana anaknya pernah bermain untuk skuad muda kelab tersebut.

Kredit Foto: Daily Beast

Kim Jong-un - Inter Milan

Walaupun Kim Jong-un sering dilabel sebagai penyokong Manchester United, rakan Kim di Itali, Antonio Razzi (ahli politik), mendedahkan bahawa Kim cukup meminati kelab Inter Milan.

Kredit Foto: Sky News

Benito Mussolini - Bologna

Mussolini merupakan seorang lagi diktator yang cukup berpengaruh ketika zaman Perang Dunia pertama dan Perang Dunia kedua. Menurut pelbagai laporan di Itali, Mussolini menyokong Bologna, sebuah kelab Itali yang mendominasi pentas bolasepak Itali pada waktu itu.

Kredit Foto: ABC News

Adolf Hitler - Schalke 04

Siapa yang tak kenal Adolf Hitler? Menurut laporan The Sun, Hitler cukup meminati Schalke 04, pasukan terbaik di Jerman pada era 30-an dan 40-an. Kelab yang turut dikenali sebagai Die Knappen itu banyak memenangi piala di antara tahun 1934 hingga 1942.

Kredit Foto: History Channel

Robert Mugabe - Chelsea

Bekas diktator Zimbabwe ini mempunyai minat yang mendalam terhadap bolasepak, dan pernah berkata bahawa dia tidak suka diganggu oleh sesiapa, termasuk isterinya, ketika sedang menyaksikan perlawanan bolasepak. Menurut laporan Daily Mirror, Mugabe merupakan seorang penyokong Chelsea.

Kredit Foto: Al Jazeera